PUTRAJAYA – Dua lagi individu bergelar Datuk direman hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah melibatkan projek pembalakan bernilai lebih RM27 juta.
Kedua-dua suspek yang berbaju lokap SPRM warna jingga dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya oleh pegawai suruhanjaya itu dalam keadaan tangan bergari pada pukul 10.20 pagi tadi.
Suspek pertama berpangkat Datuk yang merupakan bekas Timbalan Pengerusi syarikat berusia 65 tahun itu direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 18 Ogos depan.
Manakala suspek kedua berusia 40 tahun yang juga bergelar Datuk dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat direman selama lima hari mulai hari ini sehingga 19 Ogos depan.
Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim.
Semalam, SPRM telah mendapat perintah reman terhadap tiga individu termasuk seorang bergelar Datuk bagi membantu siasatan kes yang sama. – MalaysiaGazette