Home Politik PRN atau tidak, saya akan terus bersuara untuk Sabah – Anifah

PRN atau tidak, saya akan terus bersuara untuk Sabah – Anifah

KOTA KINABALU – Tidak banyak perubahan yang dapat dilihat dalam personaliti bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang kini memikul tanggungjawab sebagai Presiden Parti Cinta Sabah (PCS).

Kelantangan beliau dboleh diterima umum khususnya penduduk Sabah malah mungkin mengundang perhatian ramai apabila Anifah menegur siasiapa sahaja termasuk abangnya, Tan Sri Musa Aman.

Sikap itu juga ditonjolkan bekas penyandang kerusi Parlimen Kimanis itu apabila beliau meninggalkan UMNO pada 2018 dengan alasan enggan menyakiti hati ahli parti  kerana kelantangan bersuara hak Sabah.

Beliau jugalah yang tidak henti bercakap tentang tuntutan hak Sabah selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sejak menceburi dunia politik.

Baru-baru ini Anifah mengajukan pelbagai soalan kepada Menteri Luar, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussien berhubung keselamatan, kepentingan maritim mahupun strategik Malaysia yang jelas dicerobohi negara luar.

Malah tuntutan serta dakwaan melampau Filipina kononnya Sabah milik negara itu cepat disanggah Anifah.

Kata Anifah ketika ditemui MalaysiaGazette di Kota Kinabalu semalam, sama ada Pilihan Raya Negeri diadakan atapun tidak beliau akan kekal komited dan lantang menyuarakan hak Sabah dan dengan jawatan Presiden PCS tugas itu semakin berat.

“Ini bukan soal politik lagi, ini juga bukan soal perebutan kuasa mahupun jawatan. Ini adalah tentang Sabah. Tentang Malaysia. Saya tidak akan sesekali beri muka mahu berkompromi ataupun gentar dengan sesiapa dalam isu-isu seperti ini.

“Saya tidak perlu tunggu sehingga pilihan raya untuk menyatakan pandangan saya. Ini negeri kita, ini negara tanah tumpahnya darah kita. Adakah kita cuba bermain politik atau akan bermati-matian melindungi hak kita, tanah kita, kedaulatan kita?

“Saya tidak akan berdiam diri. Apa yang sedang berlaku di sekeliling terutamanya di Sabah bukanlah sesuatu yang boleh kita diamkan atau tutupkan begitu sahaja,” katanya memulakan bicara.

Menurut Anifah, dalam soal kedaulatan negeri Sabah, beliau dan partinya tidak akan berkompromi ataupun bertolak ansur.

Dengan wajah serius, Anifah menjelaskan kebelakangan ini banyak negera ingin mengambil kesempatan untuk membuat tuntutan terhadap kedaulatan Sabah.

“Keadaan agak porak peranda, ini juga kerana mantan kerajaan negeri bawah Warisan. Antara contoh saya boleh cakap ialah Filipina sekali lagi cuba tuntut Sabah.

“Kelemahan pemerintahaan kerajaan Warisan sebenarnya telah membuka pintu Negeri Sabah kepada pelbagai ancaman sehingga memberikan peluang untuk campur tangan atau membuat tuntutan kerana tiadanya pemimpan kerajaan negeri lebih lantang mahupun ditakuti.

“Semasa saya menjadi Menteri Luar, saya telah menggadaikan semua untuk menghentikan segala tuntutan dan ancaman seperti ini sebelum mereka berani berkata apa-apa.

“Dalam hal hubungan dua-hala antarabangsa, kita mesti berhati-hati untuk elakkan tercetusnya persengketan antara Malaysia dengan mana-mana negara,” ujarnya.

Sejak meninggalkan UMNO Anifah tidak pernah melompat masuk parti lawan walaupun pernah mendapat tawaran.

Sebaliknya beliau dilantik sebagai Presiden PCS tanpa bertanding pada pemilihan parti itu baru-baru ini.

Kata Anifah, beliau sendiri sememangnya terkejut apabila diberitahu ramai ahli PCS bpleh diketengahkan sebacai calon PRN kerana mereka mempunyai kualiti dan terpelajar.

“Apa yang pasti, ada muka-muka baharu namun bukanlah baharu dalam susur galur kehidupan di Sabah ini. Saya sendiri belum lagi pasti hendak bertanding di mana kerana masih sedang berbincang dengan akar umbi.

“Kita hendak kaji dulu dalam masa suntuk dan terhad ini terlebih dahulu, apa yang penting bukan kerusi saya sebaliknya keutamaan diberikan untuk PCS menang,” ujarnya.

Anifah turut membuat kejutan apabila meminta Musa yang juga bekas Ketua Menteri Sabah supaya berundur dan memberi peluang kepada generasi baharu .

“Ini politik, ini lain. Ini bukan membabitkan kepentingan saya, ini adalah kepentingan rakyat di negeri ini. Sudah tentu beliau adalah abang saya dan saya sayangkannya.

“Kita berterima kasih dengan semua apa yang telah dilakukan olehnya sebelum ini, namun kini banyak yang telah berubah, pengundi khasnya golongan muda yang akan menjadi pelapis pada masa depan sebenarnya sudah tukar cara pemikiran mereka.

“Dulu lain, kini ianya lain dan itulah hakikatnya. Saya sendiri kini adalah seorang pemimpin sebuah parti, sudah pasti saya akan buat yang terbaik bukan untuk memimpin parti kami sebaliknya perjuangan parti untuk dan demi rakyat di sini penting sekali,” katanya lagi. – MalaysiaGazette