KUALA LUMPUR – MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) terus memanfaatkan reputasinya sebagai pengeluar gula halus bertapis berkualiti tinggi melalui rangkaian produk pemanis baharu bawah jenama ” Premium Prai” termasuk sukrosa rendah kalori, “Go½” dan campuran gula stevia, “GoNatura” untuk memenuhi kehendak trend di kalangan pengguna yang memilih gaya hidup yang lebih sihat.
Varian baharu ini sudah berada di pasaran pada bulan Julai 2020 dan akan memasuki rangkaian perdagangan moden tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Datuk Khairil Anuar Aziz berkata, Gula Prai telah menjadi jenama gula halus bertapis yang paling diminati di kalangan pengguna di Malaysia dengan pegangan pasaran sebanyak 61%.
“Kami sedar bahawa pengguna sekarang lebih mementingkan kesihatan. Ada keperluan untuk kita membuat pilihan gaya hidup seimbang, yang menawarkan pemanis alternatif untuk pengguna.
“Produk kami memberikan keseimbangan rasa manis yang tepat dan mengawal pengambilan gula pengguna tanpa kehilangan selera,” katanya.
MSM adalah anak syarikat FGV Holdings Berhad (FGV).
Khairil Anuar berkata, Go½ adalah gula yang diadunkan dengan sukrosa, pemanis tanpa kalori yang banyak digunakan untuk meningkatkan rasa dalam pelbagai produk makanan dan minuman termasuk minuman ringan.
Walaupun mempunyai kadar intensiti tinggi sekitar 600 kali lebih manis daripada gula, sukrosa menyumbang kepada kemanisan tanpa menambahkan kalori atau karbohidrat.
Menariknya, Go½ memberikan rasa manis kurang gula dengan mengurangkan pengambilan gula menjadi separuh.
Daripada menggantikan gula sepenuhnya dengan stevia, GoNatura melengkapkan sebahagian kecil gula dengan rasa manis semula jadi stevia. Campuran unik ini memastikan rasa yang khas bagi pengguna untuk menikmati kemanisan dengan mengurangkan pengambilan gula.
”Perluasan portfolio pengeluaran kami melalui produk baharu ini juga akan meningkatkan kadar penggunaan kilang baharu kami di Johor. Pada masa ini, kadar penggunaan berada pada kadar 34% dan dijangka meningkat antara 48% hingga 50% untuk Tahun Kewangan 2020 berikutan perkembangan kumpulan dalam segmentasi pasaran baharu dan pelbagai rangkaian produk,” tambah Khairil Anuar.
Go½ dan GoNatura dibungkus dalam kotak kecil dengan 50 paket kecil setiap satu untuk penyimpanan yang mudah.
Pada masa ini, kedua-dua boleh didapati di Elewsmart dan juga boleh dibeli secara dalam talian melalui KedaiFGV di Shopee. – MalaysiaGazette