KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memandang serius kejadian seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang maut akibat ditinggalkan selama 10 jam di dalam kereta oleh bapanya di Bukit Makmur, Sungai Lalang, Sungai Petani baru-baru ini.
Kejadian sebegini bukanlah pertama kali berlaku, kata Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal
Ini kerana, menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusof ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, terdapat enam kes kematian kanak-kanak akibat kecuaian ibu bapa meninggalkan mereka di dalam kereta direkodkan sejak tahun 2018 sehingga 3 Ogos 2020.
Dua kes masing-masing pada tahun 2018, 2019 dan 2020 dan rata-rata mangsa ditinggalkan ketika ibu bapa pergi bekerja atau hadir ke mesyuarat.
Menurutnya, perbuatan cuai atau abai adalah suatu kesalahan di bawah Akta Kanak-kanak 2001 dan mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001, kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak oleh ibu bapa atau penjaga, jika didapati bersalah dan jika disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya dan perintah khidmat masyarakat sebagai hukum mandatori.
Sebelum 2016, kesalahan ini membawa hukuman, denda adalah tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun dan tiada perintah khidmat masyarakat.
Akta Kanak-kanak 2001 melalui Seksyen 33 memperuntukkan, berhubung kesalahan ibu bapa atau penjaga yang mengabaikan dan membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan yang sepatutnya, jika didapati bersalah dan jika disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya, dan perintah khidmat masyarakat sebagai hukum mandatori.
Sebelum itu, denda adalah tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun dan tiada perintah khidmat masyarakat.
Noor Aziah berkata, kesalahan ini termasuk meninggalkan kanak-kanak di rumah tanpa orang dewasa memantau dan menjaga mereka dan jika berlaku sesuatu kemalangan seperti terbakar, tersiram air panas dan terjatuh dari balkoni kerana tingkap tidak dikunci/tutup maka, penjaga atau ibubapa melakukan kesalahan di bawah akta ini.
Katanya, walaupun undang-undang yang melindungi kanak-kanak dari pengabaian, kecuaian atau penganiayaan telah wujud dan membawa hukuman berat namun ibu bapa dan penjaga dilihat masih cuai dalam memberi perlindungan dan penjagaan kepada anak masing-masing.
Tambah beliau, walaupun orang ramai amat bersimpati kepada keluarga yang kehilangan anaknya ini namun tindakan masih perlu diambil untuk memastikan tiada kecuaian atau pengabaian yang disengajakan berlaku dan pihak yang cuai perlu dihukum.
Tidak dinafikan bahawa kehilangan anak mereka adalah hukuman paling berat namun hukuman sebagai teladan kepada yang lain perlu dilaksanakan demi memastikan kanak-kanak berada dalam keadaan terpelihara, selamat dan sihat. – MalaysiaGazette