PADANG BESAR — Insiden keselamatan siber dilaporkan meningkat sejak penularan Covid-19 iaitu peningkatan sebanyak 109.04 peratus bagi tempoh 18 Mac hingga 31 Julai lalu.
“Sebanyak 3,075 insiden keselamatan siber dilaporkan dalam tempoh tersebut (18 Mac hingga 31 Julai 2020) berbanding 1,471 insiden pada tempoh sama pada tahun 2019 yang diterima oleh Pusat Bantuan Cyber999,” katanya Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Jelajah Komuniti Digital Bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di sini semalam.
Justeru, Zahidi Zainul yang juga Ahli Parlimen Padang Besar menasihati ibu bapa supaya mendidik dan menasihati keluarga dalam penggunaan internet agar mereka tidak terjerumus dengan tindakan undang-undang.
Terdahulu dalam majlis itu, syarikat perkhidmatan telekomunikasi Tune Talk menyampaikan pek permulaan prabayar (kad SIM) kepada 200 anggota RELA dan APM.
Tune Talk akan mengagihkan 10,000 pek prabayar kepada anggota RELA dan APM seluruh Perlis manakala sebanyak 500,000 prabayar akan diagihkan di seluruh negara.
Seterusnya, Zahidi berkata, kesalahan tersebut melibatkan kes seperti penipuan, pencerobohan, gangguan siber dan kod berbahaya.
Katanya dalam lambakan maklumat terdapat maklumat yang tidak sahih, oleh itu ibu bapa perlu menasihati keluarga mereka agar berhati-hati sebelum membuat perkongsian di laman sosial agar keluarga tidak terdedah dengan tindakan undang-undang.
“Sebagai contoh, ibu bapa perlu memantau apa yang dikongsi oleh anak mereka agar tidak share perkara-perkara yang lucah, isu perkauman, isu agama, institusi raja-raja dan sebagainya,” katanya.
Zahidi berkata kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan melipatgandakan kempen agar ibu bapa menasihati ahli keluarga agar berhati-hati dalam dunia digital.
Pada masa sama, Pengarah Urusan Team PLT, Datuk Buani Atiqi Abdul Rahman berkata kerjasama antara syarikat dengan agensi atau jabatan kerajaan seperti ini dapat membantu ekonomi anggota barisan hadapan dari segi penjimatan dan menjana
pendapatan sampingan.
Sesi penyerahan replika kad sim kepada Pengarah Angkatan
Pertahanan Awam Malaysia Negeri Perlis, Lt. Kol (PA) Ishak Mohd Radzi, dan Pengarah RELA Perlis, Ahmad Muazzan Shah Mohd Salleh telah disempurnakan oleh Zahidi Zainul.
Para tetamu yang hadir telah diberikan kad sim bagi membantu mengurangkan kos bulanan telefon dan internet yang dapat memperkasakan penggunaaan teknologi maklumat dalam
kalangan komuniti Angkatan Pertahanan Awam, RELA serta masyarakat.- MalaysiaGazette