Home Ekonomi Negara perlu pakej rangsangan lagi elak kemelesetan ekonomi – Guan Eng

Negara perlu pakej rangsangan lagi elak kemelesetan ekonomi – Guan Eng

Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Walaupun masih tidak mahu mengaku, data ekonomi menunjukkan jelas kerajaan tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mengurangkan kadar kemelesetan ekonomi, dakwa Lim Guan Eng.

Menurutnya, data Bank Negara Malaysia menunjukkan perbelanjaan mengurus suku kedua kerajaan menurun 2.1% daripada tahun lalu, berbanding kenaikan 5.2% pada suku pertama.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, sekiranya kerajaan bertindak lebih pantas, negara mungkin akan mengalami kemelesetan yang lebih rendah.

Beliau berkata, kadar pengangguran 4.9% pada bulan Jun menyembunyikan fakta bahawa terdapat banyak golongan profesional seperti juruterbang yang melakukan pekerjaan selain menerbangkan pesawat.

”Secara mudah, mereka boleh dikatakan bekerja di bawah potensi mereka atau ‘guna tenaga tidak penuh’. Di sini, kerajaan harus sedar bahawa kualiti pekerjaan adalah sama pentingnya dengan jumlah pekerjaan.

”Statistik tersebut juga tidak mengambil kira tentang pemotongan gaji yang dialami oleh pekerja Malaysia sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Seperti dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada bulan April, 84% daripada pekerja sektor swasta terkesan dengan pemotongan gaji.

”Bank Negara Malaysia juga melaporkan bahawa pada suku tahun kedua, gaji swasta turun sebanyak 5.6% berbanding tahun lalu setelah meningkat 2.1% pada suku tahun pertama 2020,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Guan Eng menambah, situasi semasa menuju kepada risiko sebenar deflasi yang mampu menjejaskan taraf hidup rakyat Malaysia.

Dengan kemelesetan ekonomi, harga barangan akan jatuh, selari dengan Indeks Harga Pengguna bulan Jun yang menurun sebanyak 1.9% tahun ke tahun setelah menurun sebanyak 2.9% pada bulan Mei.

Pertumbuhan ekonomi yang lebih rendah dan harga barangan yang lebih rendah adalah berita buruk untuk ekonomi.

Katanya, penyusutan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua iaitu 17.1%, terburuk dalam sejarah memerlukan satu lagi pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM45 bilion bagi memerangi kemelesetan ekonomi Covid-19.

Kerajaan harus melaksanakan satu lagi pusingan langkah-langkah kewangan pasca Covid-19 seperti suntikan dana berjumlah RM45 bilion yang dilakukan pada awal bulan April.

Menurut beliau, KDNK sebenar selepas pelarasan musim menguncup 16.5% suku tahun ke suku tahun berbanding dengan penyusutan suku tahun pertama 2% suku ke suku.

Selain itu, prestasi KDNK Malaysia adalah yang terburuk di antara negara ASEAN berpendapatan sederhana dan tinggi yang telah melaporkan angka suku kedua masing-masing.

Indonesia, Filipina dan Singapura semuanya mencatatkan penyusutan yang lebih rendah daripada Malaysia kecuali Vietnam yang cukup bernasib baik kerana masih menikmati pertumbuhan yang kecil.

Dengan dua penyusutan dua sukuan berturut-turut, mengesahkan Malaysia telah memasuki kemelesetan ekonomi teknikal pada separuh pertama 2020.

”Terdapat keperluan mendesak untuk satu lagi pusingan pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM45 bilion untuk mencegah deflasi, termasuk bantuan kewangan kepada perusahaan kecil dan sederhana dan melanjutkan moratorium pinjaman bank selama 6 bulan lagi apabila tamat pada 30 September.

”Kegagalan untuk melakukannya akan menyebabkan malapetaka yang lebih besar termasuklah kebankrapan kerana banyak yang akan gagal untuk membayar pinjaman mereka, baik untuk tujuan kereta, rumah atau perniagaan,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Hek eleh… mcm cerdik sgt. Berlakon konon2 prihatin. Masa berkuasa dulu, kedekut yg amat bab kebajikan rakyat. Rapla jingga bak kata mamu maidin.

Comments are closed.