Home Politik Parti Cinta Sabah muncul tepat pada masanya

Parti Cinta Sabah muncul tepat pada masanya

KOTA KINABALU – Parti Cinta Sabah (PCS) yang baru-baru ini mula menjadi buah mulut dengan kehadiran bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman sebagai presiden kini pilihan generasi muda.

Tinjauan MalaysiaGazette mengikut Anifah ke majlis santai mesra dengan warga Papar di Kampung Padang Pulasan di sini semalam mendapati ramai penduduk setempat hadir.

Hampir 70 peratus yang hadir ada kumpulan warga muda lingkungan antara 20-an hingga 30-an, masing-masing juga kelihatan begitu teruja dengan Anifah.

Anifah aktif turun padang ke seluruh pelusuk negeri itu dalam usaha memberi pemahaman berhubung PCS dan apakah sebenarnya kepentingan serta peranan parti tempatan itu kepada rakyat di Negeri Di Bawah Bayu itu.

Baginya, PCS bukan ‘parti nyamuk’ atau ‘syok sendiri’  menjelangnya musim pilihan raya sebaliknya satu platform untuk rakyat yang sudah muak dengan situasi serta keadaan Sabah sejak kebelakangan ini.

Antaranya perkongsian Anifah termasuklah isu kedaulatan serta keselamatan yang ketika ini menjadi persoalan sejak akhir-akhir ini apabila ada kuasa asing membuat tuntutan terhadap Sabah kononnya milik mereka.

Ia berlaku ketika Warisan masih lagi menjadi kerajaan dengan diterajui oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan rakyat menjadi binggung mengapakah kerajaan negeri tidak ada sebarang tindakan.

Kata Anifah, sehingga bila-bila tidak kira pilihan raya mahupun berjawatan, beliau akan tetap bersuara bermati-matian memastikan hak Sabah tetap disuarakan.

Menurutnya, soal keselamatan kedaulatan negeri ini tidak akan dikompromi.

Ketika tinjauan MalaysiaGazette bersama anak muda di negeri itu ternyata mereka hadir kerana mahu mendengar cerita dari mulut Anifah sendiri.

Malah ada kalangan mereka membuat keputusan menyertai PCS  selepas itu.

Pada majlis itu sahaja, sekurang-kurangnya lebih 500 orang  menyertai PCS sambil menyerahkan borang keahlian kepada Anifah.

Rata-rata mereka enggan mendedahkan identiti namun terpesona dengan aura pemimpin senior seperti Anifah..

“Kita juga tahu apa yang sedang berlaku di sekeliling kami, bukannya hanya tahu ketika pemimpin bercakap di pentas politik sahaja. Ketika ini semua maklumat sudah ada di hujung jari sahaja.

“Sebaliknya kami hendak dengar juga apa kata mantan-mantan pemimpin, juga hendak tahu apakah sebenarnya alasan mengapakah hak dan suara Sabah sentiasa tidak di dengari walaupun memegang jawatan.

“Ada juga parti yang sebelum ini pembangkang cakap dengan penuh kobar-kobar kononnya menang hari ini, esok sudah boleh selesai semua masalah, sehingga hari ini banyak sahaja yang tidak di tunaikan. Cakap hanya di pentas politik apa guna,” kata salah seorang wakil mereka.

Dalam pada itu Anifah pula berjanji PCS akan mengetengahkan wajah-wajah baharu serta generasi muda yang sememangnya bukan sahaja warga tempatan sebaliknya cukup arif serta terkenal di negeri ini.

Malah bagi beliau, kepimpinan berpengalaman yang berada dalam PCS sebenarnya akan menggunakan peluang untuk melatih golongan ini supaya boleh mentadbir Sabah pada masa hadapan serta menjadi pelapis untuk terus perjuangkan negeri ini.

“Saya adalah anak kelahiran Sabah. Membesar di Sabah dan sejarah keluarga sebelum Sabah terbentuknya Malaysia. Sudah lebih 20 tahun dalam politik terutamanya di kerajaan pusat, saya sudah bertemu dan sentiasa bersuara, berjuang mengembalikan hak kita seperti termaktub dalam perjanjian Malaysia 1963.

“Banyak kepentingan kita dalam MA63 khususnya melibatkan kepentingan rakyat yang masih tidak tertunai. Hentilah berharap dan kita harus berjuang sendiri, ketika ini saya kata PCS adalah platform tersebut bukan retorik tapi berdasarkan pengalaman saya.

“Walaupun berlainan dari segi bangsa dan agama dari pelbagai etnik Sabah namun itulah kekuatan kita (PCS) sebenarnya kerana mempunyai matlamat yang sama demi masa depan orang-orang Sabah.

“Hidup mati saya di Sabah. Sebagai anak Sabah, sudah tiba masanya untuk kita menentukan nasib kita sendiri.

You are my people. This is Sabah and we are united together to fight for a better Sabah,” tegasnya.

Kata-kata itulah yang menjadi semangat kepada para hadirin bukan sahaja pada majlis itu sebaliknya juga menjadi tarikan kepada segelintir rakyat Sabah untuk menyertai PCS bagi bersama-sama Anifah.

Walaupun ada juga persepsi negatif mengapakah ada lagi parti-parti baharu muncul atau parti kecil tidak mampu melawan gergasi parti politik sedia ada namun jika rakyat menerimanya, PCS mempunyai peluang cerah. – MalaysiaGazette