KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menjelaskan keputusannya mengumumkan masa rehat 10 minit sebelum pengundian Rang Undang-Undang Perbekalan kerajaan hari ini.
Katanya, masa rehat itu bertujuan membolehkan semua ahli-ahli Parlimen mengambil bahagian dalam pengundian.
Tempoh itu juga diperlukan kerana ahli Parlimen berada di bangunan baharu yang agak jauh dari Dewan Rakyat.
“Rehat 10 minit baik untuk semua ahli Parlimen yang boleh berkejar ke dewan untuk mengundi,” katanya seperti dilaporkan.
Keperluan mengambil langkah berjaga-jaga terhadap jangkitan wabak Covid-19 juga merupakan satu lagi penyebab beliau berbuat demikian.
Tambahnya, beliau pernah mengumumkan prosedur rehat 10 minit itu pada 11 Ogos dan tiada bantahan dibuat.
Terdahulu hari ini, beberapa ahli Parlimen pembangkang membantah apabila Azhar mengumumkan masa rehat.
Masa rehat itu diumumkan sebelum pengundian ke atas Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020 yang menyaksikan kerajaan meminta peruntukan sebanyak RM7.18 bilion dijalankan.
Rang undang-undang itu kemudiannya diluluskan dengan majoriti lima undi. – MalaysiaGazette
Tidak bagi rehat pun korang ponteng juga.