Home Nasional Covid-19: 12 kes baharu, 10 kes libat warga tempatan – Noor Hisham

Covid-19: 12 kes baharu, 10 kes libat warga tempatan – Noor Hisham

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 14 JULAI 2020

KUALA LUMPUR – Sebanyak 12 kes baharu positif Covid-19 dilaporka setakat 12 tengahari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Ia sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes positif hari ini sebanyak 9,212 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 211 kes dan mereka telah diasingkan serta diberi rawatan.

Katanya, terdapat 17 kes yang telah pulih Covid-19 pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 adalah sebanyak 8,876 kes (96.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

“Ingin dimaklumkan daripada 12 kes baharu yang dilaporkan, dua kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan bukan warganegara.

“Kes pertama dan kedua itu adalah masing-masing pulang dari Syria dan Filipina dilaporkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Dalam pada itu kata Dr. Noor Hisham, kesemua 10 lagi kes penularan di dalam negara pula melibatkan warganegara Malaysia.

Tambah beliau, satu kes direkodkan di Selangor membabitkan kes saringan bergejala di Hospital Sungai Buloh manakala di Kedah empat kes membabitkan Kluster Tawar dan dua kes Kluster Sala.

“Di Pulau Pinang pula tiga kes daripada Kluster Tawar dilaporkan.

“Sehingga kini, terdapat lapan (8) kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi di mana dua kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes (1.36 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).- MalaysiaGazette