KUALA LUMPUR- Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan seorang remaja lelaki bersalah membunuh 23 individu dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Dato Keramat, di sini hampir tiga tahun lalu.
Remaja berkenaan dihukum penjara selama yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) berdasarkan Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati.
Hakim Datuk Azman Abdullah ketika membacakan penghakimannya berkata, berdasarkan penelitian keterangan dan hasil siasatan yang dikemukakan semasa perbicaraan, pihak pendakwaan berjaya membuktikan remaja berkenaan dengan sengaja melakukan khianat tersebut dengan niat membunuh selain pihak pembelaan gagal membuktikan wujud keraguan munasabah terhadap pendakwaan.
Remaja itu tersandar di kerusi dan tidak dapat menahan air matanya sejurus sahaja mendengar keputusan hakim.
Dalam pada itu hakim memaklumkan YDPA juga mempunyai kuasa untuk menyatakan syarat-syarat tahanan kepada remaja yang berada di bawah umur ketika didakwa tersebut dari semasa ke semasa.
Selesai penghakiman, peguam yang mewakili remaja berkenaan Mohd Hajjan Omar berkata, remaja tersebut memohon maaf atas semua kesulitan dan kesukaran yang berlaku sepanjang perbicaraan berlangsung namun menegaskan anak guamnya tidak bersalah.
Bagaimanapun, pihak pembelaan memberitahu, mereka boleh mengemukakan hujah tersebut semasa proses rayuan yang dibenarkan dalam tempoh 14 hari.
Pada 14 September 2017, seramai 21 pelajar dan dua guru terkorban kerana terperangkap dalam insiden kebakaran di tingkat tiga asrama pusat tahfiz berkenaan.
Tragedi menyayat hati itu mendapat perhatian luas di seluruh negara.
Seramai 71 saksi memberi keterangan semasa peringkat pendakwaan yang bermula pada 30 Mei 2018.
Antaranya ialah Pengarah (Bahagian Keselamatan Kebakaran) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Putrajaya, Edwin Galan Teruki yang memberitahu mahkamah injap dua tangki gas ditemukan di lokasi kebakaran di pusat tahfiz itu telah ditebuk.
Seorang lagi saksi, pegawai sains di Makmal Siasatan Kebakaran JPBM Kuala Lumpur, Yusnita Osman berkata, kesan petrol ditemukan pada sampel diambil daripada bangunan terbabit dalam kebakaran.
Untuk rekod, remaja tersebut sebelum ini diarah mahkamah membela diri atas pertuduhan membunuh selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.-MalaysiaGazette
Alhamdulillh, keadilan terbela jua..klu boleh hukum gantung smpai mati lg bgus..klu nk ikutkan kejahatan n kekejaman yg di lakukan.tidak berbaloi dgn hukuman penjara..23 org yg tak bersalah jadi korban kejahatan manusia durjana..tapi kami sebagai org awam sgt2 bersyukur dgn kputusan ini..syabas kpd pd pendakwaraya yg berjaya buktikan manusia durjana tu bersalah.