Home Nasional Kerajaan jangka sektor jualan langsung meningkat tahun ini – Rosol

Kerajaan jangka sektor jualan langsung meningkat tahun ini – Rosol

Rosol Wahid

KUALA LUMPUR – Kerajaan menjangka jumlah jualan tahunan sektor jualan langsung bagi tahun ini meningkat kepada RM20 billion berbanding RM17.9 bilion tahun lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, angka itu mampu dicapai memandangkan sehingga Julai lalu, sebanyak RM16.9 billion jumlah jualan sudah direkodkan biar pun negara kini mengalami kelembapan ekonomi.

“Jumlah jualan tahunan bagi industri jualan langsung pada 2017 adalah RM13.6 bilion, 2018 adalah RM15.9 bilion dan 2019 adalah RM17.9 bilion,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Labis, Pang Hok Liong (PH) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Mengenai pembatalan lesen, Rosol berkata, sejak tahun 2012 hingga tahun lalu, sebanyak 16 syarikat jualan langsung dikenakan tindakan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Rosol berkata, harga barangan keperluan asas akan diseragamkan menerusi Program Penyeragaman Harga bagi membolehkan rakyat khususnya di kawasan pedalaman tidak terbeban dengan peningkatan kos.

Ujarnya, harga barangan keperluan asas itu kelak akan diseragamkan antara kawasan bandar dan luar bandar.

Beliau berkata, itu antara inisiatif yang akan dilaksanakan oleh kementerian dalam usaha untuk menangani isu peningkatan kos sara hidup yang dihadapi rakyat.

“Kerajaan akan menghapuskan monopoli atau kartel bagi industri tertentu yang boleh diliberalisasikan supaya wujud persaingan sihat yang membolehkan pengguna membeli barangan dengan harga yang lebih kompetitif.

“KPDNHEP juga memperkasakan medium interaktif secara meluas bagi memudahkan rakyat membuat perbandingan harga melalui aplikasi pintar PriceCatcher dan mengemukakan aduan menerusi aplikasi Ez Adu,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH) yang mahu mendapatkan penjelasan mengenai langkah terperinci kerajaan untuk menangani isu kos sara hidup rakyat. – MalaysiaGazette