Home Nasional MySejahtera versi-24 daftar tanggungan sekeluarga serentak

MySejahtera versi-24 daftar tanggungan sekeluarga serentak

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Aplikasi MySejahtera kini membolehkan fungsi check-in (daftar masuk) dilakukan oleh pengguna dan juga tanggungan secara serentak apabila memasuki sesuatu premis.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, fungsi berkenaan telah dibangunkan bagi memudahkan dan mempercepatkan proses check-in menggunakan MySejahtera selaras dengan tujuan kerajaan mewajibkan semua yang memasuki mana-mana premis untuk merekodkan kehadiran mereka.

“Fungsi ini boleh digunakan selepas pengguna mengemaskini aplikasi MySejahtera kepada versi terbaharu ke-24 dan berikut adalah langkah-langkah sebelum mula menggunakan fungsi tersebut.

“Pertama pilih “Lain-lain” di menu utama aplikasi MySejahtera dan seterusnya pilih aktiviti “Tambah Tanggungan” dan kemudian tekan “Tambah Tanggungan” di bahagian bawah sebelah kanan bagi memasukkan butiran ahli keluarga.

“Pastikan semua maklumat yang dimasukkan adalah betul dan selepas selesai memasukkan butiran ahli keluarga, tekan “Simpan” atau pilih “Tambah Satu Lagi” sekiranya ingin memasukkan maklumat ahli keluarga seterusnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, individu yang ingin check-in bagi beberapa individu, boleh memilih nama-nama yang telah dimasukkan dalam aplikasi versi-24 itu.

“Tiada sebarang had yang ditetapkan bagi bilangan nama yang boleh dimasukkan sebagai tanggungan seseorang individu yang hendak masuk ke mana-mana premis.

“Fungsi berkenaan boleh digunakan oleh semua pengguna aplikasi MySejahtera untuk check-in di semua premis yang berdaftar dengan aplikasi (MySejahtera versi-24) ini,” kata Dr. Noor Hisham. – MalaysiaGazette

+ posts