KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengeluarkan sebanyak 78 kertas undi pos pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Perak.
Setiausahanya, Ikmalrudin Ishak berkata, pengeluaran kertas undi pos itu dilakukan bermula pukul 2.30 petang pada Ahad oleh petugas PRK di Pejabat Daerah dan Tanah Mualim, Slim River.
“Kesemua 78 permohonan undi pos tersebut terdiri daripada 75 kategori Borang 1A (65 petugas pilihan raya dan 10 anggota Polis Diraja Malaysia), dua Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara dan satu permohonan undi pos bagi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara).
“Sebanyak 68 sampul keutamaan telah diserahkan kepada pihak Pos Malaysia untuk dihantar kepada pengundi-pengundi terbabit manakala 10 lagi sampul keutamaan diambil oleh Pegawai Yang Bertanggungjawab (PYB) PDRM untuk diserahkan kepada anggota PDRM yang telah memohon undi pos,” katanya dalam kenyataan media di Putrajaya hari ini.
Justeru katanya, proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran wakil kepada calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.
Malah jelas beliau, proses pengeluaran kertas undi pos bagi PRK DUN Slim ini juga disiarkan secra live streaming di Facebook rasmi SPR bagi meningkatkan lagi kefahaman masyaraat awam mengenai proses pilihan raya.
“SPR juga mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang pengisytiharan identititi (Borang 2) yang disertakan serta segera mengembalikannnya semula kepada Pegawai Pengurus PRK DUN Slim sebelum jam 5 petang pada Hari Mengundi iaitu 29 Ogos 2020.
“Pengundi juga diingatkan agar tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial.
“Sekiranya perbuatan ini dilakukan, tindakan undang-undang akan diambil dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman sewajarnya,” kata beliau. – MalaysiaGazette