Home Nasional Tak sampai sejam menyamun, seorang dari 4 suspek samun maut kemalangan

Tak sampai sejam menyamun, seorang dari 4 suspek samun maut kemalangan

PDRM

JOHOR BAHRU – Tidak sampai sejam daripada menyamun dan melarikan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), empat suspek lelaki warga tempatan kemalangan malah salah seorang turut maut apabila kenderaan itu terbabas dan melanggar dua kenderaan lain di Kilometer 20.5, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, di sini, awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Mohd Padzli Mohd Zain berkata, ekoran daripada pelanggaran itu, suspek yang memandu kenderaan terbabit iaitu remaja berusia 18 tahun, maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, manakala seorang lagi suspek berusia 22 tahun cedera parah di bahagian kepala.

Sementara itu, dua lagi suspek, sempat melarikan diri dan kini dalam buruan pihaknya, kata beliau dalam satu kenyataan, di sini, sebentar tadi.

Menurutnya, terdahulu, keempat-keempat suspek berkenaan didapati melarikan MPV Proton Exora milik seorang lelaki warga tempatan berusia 53 tahun selepas menyamunnya di Jalan Beladau, Taman Puteri Wangsa, di sini, pada pukul 6.45 pagi sebelum kemalangan itu berlaku pada 7.30 pagi.

“Mangsa sebelum itu memandu sendirian dan ketika melalui lokasi terbabit, dia melihat seorang lelaki terbaring di tengah jalan lalu memberhentikan kenderaan dan menurunkan cermin kereta sebelum diserang oleh keempat-empat suspek berkenaan.

Mangsa ditumbuk di muka beberapa kali sehingga jatuh ke jalan raya dan keempat-empat suspek melarikan diri bersama kereta terbabit,” katanya menerusi kenyataan, di sini, malam ini.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati lelaki yang terbaring itu merupakan warganegara India dan mengalami luka di muka, kepala dan sakit di bahagian belakang badan itu, disyaki akibat disamun oleh kesemua suspek yang sama.

Mohd Padzli berkata tangkapan telah dibuat terhadap suspek yang sedang dirawat di Unit Kecemasan Zon Merah, Hospital Sultan Ismail, di sini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 394/379A Kanun Keseksaan iaitu Samun Berkumpulan dan Melarikan Kenderaan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat bersabit kes di atas boleh menghubungi terus talian penting Ibu pejabat Polis Daerah  Johor Bahru Selatan 07-2182323 atau Pegawai Penyiasat Insp Maslinah di talian 019-7299064.

— BERNAMA