KUALA LUMPUR – Rangka kerja Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 tidak pernah digerakkan sejak 2016.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaari berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah meneliti pindaan itu selepas ia dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang sebagai Rang Undang-Undang Persendirian, empat tahun lalu.
“Apabila kita meneliti (RUU355) selepas yang dibentang kali pertama dahulu oleh Ahli Parlimen pembangkang waktu itu, selepas itu tidak ada satu kerangka kerja dan jangka masa yang betul dalam menguruskan RUU sehingga dibawa ke perbentangan Parlimen oleh kerajaan (ketika itu).
“Bila pembentang pertama itu adalah daripada pembangkang, kerajaan mengambil maklum perkara itu dan sepatutnya dibawa untuk perbentangan seterusnya,” katanya kepada media selepas merasmikan kempen Kibar Jalur Gemilang di peringkat Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI), sebentar tadi.
Dalam pada itu, Ahmad Marzuk turut berkata kerajaan terdahulu, Pakatan Harapan (PH) langsung tidak menyentuh mengenai pindaan itu sejak menguasai kerajaan pada Mei 2018.
“Setakat semakan saya, dia terhenti di situ (pada 2016) dan zaman PH mengambil alih. Beberapa kali juga termasuk saya bangkitkan dalam Parlimen soal kemajuan ataupun soal perkembangan RUU ini. Memang tidak ada apa yang dibuat untuk mengikuti tertib itu.
“Di zaman kerajaan PH tidak ada satu progres yang kita boleh laporkan berkaitan dengan perkembangan untuk membawa kepada beberapa tertib.
“Kerana kerajaan ini (PN) ada beberapa tertib yang perlu kita laksanakan terlebih dahulu sebelum ianya dibentangkan di Dewan Rakyat,” katanya lagi.
Malah ada Ogos 2018, Menteri di Jabatan Perdana Menteri PH, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, tiada keperluan untuk membentuk jawatankuasa baharu bagi meneliti RUU355 dan kerajaan ketika itu lebih menumpukan kepada usaha untuk memperkasakan Mahkamah Syariah.
Cadangan pindaan Akta 355 dibentangkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016 sebagai RUU persendirian.
Bagaimanapun, perbahasan mengenainya ditangguhkan dan versi yang disemak semula dibentangkan pada November 2016 dan April 2017.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berharap pindaan RUU 355 akan dapat direalisasikan sebelum beliau meninggal dunia.
Dr Zulkifli turut berkata, beberapa proses penting perlu diteliti dan dilaksanakan terlebih dahulu, sebelum RUU pindaan akta berkenaan dibawa ke Parlimen.
Katanya, ia mencakupi perbincangan di peringkat Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil yang ditubuhkan Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).
RUU355 yang dibawa Hadi bertujuan untuk menaikkan hukuman bagi pesalah syariah daripada maksimum tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam rotan kepada denda maksimum 30 tahun penjara, denda RM100,000 dan 100 sebatan rotan. – MalaysiaGazette
Dh ada kuasa buat lerr