KUALA LUMPUR – Tindakan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerusi surat pekeliling yang menyenaraihitamkan Nation Of Woman (NOW) daripada disertai ahli-ahli parti didakwa satu penindasan demokrasi dan hak berpersatuan.
Ketua Penerangan NOW, Syarul Ema Rena Abu Samah dalam kenyataan hari ini mendakwa, tindakan itu mencerminkan perjuangan semasa dalam PKR hanyalah semata-mata untuk agenda menaikkan presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Amat malang sekali bila ada parti politik yang kononnya pendokong reformasi melarang ahli-ahli terlibat dengan badan bukan kerajaan semata-mata kerana ianya diketuai oleh bekas pimpinan PKR sendiri.
“Bagi saya past is past,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Tambah Syarul Ema, ia adalah satu tindakan terdesak PKR sehingga terpaksa mengambil langkah kuku besi, penakut dan menafikan hak ahli parti untuk berpersatuan.
Beliau turut mempersoalkan kenapa PKR begitu paranoid dengan kemunculan NOW yang pada dasarnya hanyalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang menjalankan kerja-kerja kebajikan dan memperjuangkan keperluan wanita dan suara rakyat biasa.
Beliau dengan nada kecewa menyoal sama ada PKR tidak yakin dengan sokongan dan ketaatan ahli-ahli sendiri terhadap parti sehingga terpaksa melaksanakan tindakan sedemikian.
Syarul Ema Rena menjelaskan bahawa pertubuhan NOW dibina dengan asas yang suci dan niat yang murni dan tidak seharusnya menjadikan bahan politik.
Menurut beliau, PKR sepatutnya meraikan demokrasi dan hak kebebasan bersuara dan ekpresi namun arahan Saifuddin yang menjadikan PKR satu parti yang ‘cakap tak serupa bikin’.
“Depan cakap lain, belakang buat lain dan benda sepatutnya jadi lain. Lagipun apa yang ahli PKR dapat dalam berjuang 20 tahun hanya semata-mata nak mengangkat Anwar menjadi Perdana Menteri?
“Bila ahli menyokong Anwar susah, sekali pun tak diendahnya. Berapa kali semua ahli PKR merasai perkara yang sama?
“Kita hidup bermasyarakat harus bantu membantu dan bergaul baik antara satu sama lain. Bukan menyusahkan orang yang sudah lama susah,” ujarnya.
Malah kata Syarul Ema Rena, semua pihak harus bersikap move on dan berjiwa besar sambil mengakui zaman sekarang sudah berbeza.
“Sekarang zaman berbeza, sekarang zaman Covid-19. Kita patut memilih mana-mana pemimpin yang turun padang hiraukan hal rakyat, bukan asyik nak gunakan rakyat jadi senjata untuk kepetingan diri.
“Ini adalah nasihat saya kepada Saifuddin iaitu berhenti jadi pendengki, berubahlah jadi pemimpin yang berusaha membantu rakyat, sekurang-kurangnya cuba dari tak ada usaha langsung.
“Dan saya ingatkan kembali, anda diangkat untuk tujuan itu, apa guna jadi pemimpin yang dipilih jika amanah yang wajib dibawa sentiasa diketepikan,” tegasnya.-MalaysiaGazette
Lompat parti setelah diberi amanah oleh rakyat yg mengundi merupakan satu bentuk pengkhianatan dan pencabulan terhadap sistem demokrasi.
Dan matlamat penubuhan persatuan ini juga perlu dipersoalkan.