KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu lalu secara terbuka menyatakan kesediaan parti yang diterajuinya itu untuk menyertai Muafakat Nasional (BN).
Muhyiddin percaya keputusan tersebut adalah pilihan terbaik untuk Bersatu di mana parti itu memilih untuk berada dalam satu jemaah besar yang menghimpunkan parti-parti utama di negara kita.
Ramai kalangan pemimpin UMNO dan Pas (pengasas Muafakat Nasional) melihat perkembangan terbaharu itu sebagai amat positif, tidak kurang juga yang meletakkan tanda soal malah ada yang membuat undian sejauh mana keikhlasan Bersatu mahu bersama-sama MN.
Dalam keadaan UMNO dari awal telah menetapkan pendirian parti itu tidak menyertai Perikatan Nasional jika gabungan itu didaftarkan sebagai parti politik, kesediaan pemimpin Bersatu untuk ‘mengalah’ boleh dilihat dari pelbagai perspektif.
Kerjasama yang termeterai antara UMNO, Pas dan Bersatu atas nama kerajaan PN hanya berlandaskan sokongan ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN serta ADUN-ADUN dalam pembentukan Kerajaan Pusat dan di beberapa negeri tertentu.
Seorang pemimpin UMNO ketika berbual dengan penulis baru-baru ini memberikan sebab mengapa UMNO tidak mahu menyertai PN sebagai sebuah entiti politik berdaftar.
Katanya, tidak ada kewajaran untuk UMNO yang memenangi lebih banyak kerusi berbanding Bersatu untuk menyertai sebuah entiti baru sedangkan UMNO telah mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan selepas kecundang dalam pilihan raya umum lalu.
Katanya, rasa tidak selesa berada dalam Kabinet sekarang tidak harus dipanjangkan lagi dengan menyertai PN yang didaftarkan – merujuk kepada pelantikan menteri-menteri dari UMNO ke portfolio yang dikategorikan oleh pemimpin itu sebagai ‘tidak popular rakyat’.
Pemimpin itu juga memberitahu bahawa UMNO tidak mahu menjadi seperti melukut di tepi gantang berdasarkan pengalaman hampir tujuh bulan tinggal sebumbung dalam kerajaan Perikatan Nasional.
Pemerhati politik, Azizi Safar ketika berkongsi pemerhatiannya melihat rata-rata pemimpin UMNO cukup yakin dengan Muafakat Nasional UMNO akan kembali menjadi peneraju kerajaan Malaysia.
UMNO juga, katanya, yakin akan kembali dominan dalam politik negara menerusi platform Muafakat Nasional apatah lagi komponen Barisan Nasional yang lain iaitu MCA, MIC dan PBRS pun sudah bersama dalam pakatan itu.
“Jika semua parti yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional sertai Muafakat Nasional, Muafakat Nasional akan akhirnya jadi pengganti Perikatan Nasional,” katanya.
Azizi berpandangan bahawa UMNO tidak setuju menyertai Perikatan Nasional hanya kerana satu sebab iaitu UMNO tidak boleh jadi parti yang dominan dalam Perikatan Nasional.
“UMNO kena jadi subservient kepada PPBM, parti yang lebih kecil dan ada tidak ramai Ahli Parlimen berbanding UMNO. Ini tanggapan ramai dalam UMNO,” katanya.
Beliau melontarkan persoalan: “Apakah UMNO itu parti yang dominan atau jadi abang besar dalam Muafakat Nasional?”
“Apakah dalam Muafakat Nasional, UMNO masih boleh buat keputusan unilateral bagi pihak Muafakat Nasional sepertimana dalam Barisan Nasional sebelum PRU 14 dulu?”
Katanya, penjajaran politik baharu perlu berlaku kerana senario dan lanskap politik negara sudah banyak berbeza sejak UMNO/BN kalah pada PRU14 lalu.
Lebih penting lagi dalam penjajaran politik baharu itu, adakah budaya politik Abang Besar, Abang Long atau politik dominasi masih boleh diterima oleh rakyat?
Tentunya ia satu perkembangan menarik untuk kita saksikan apatah lagi selepas ada dalam kalangan pemimpin kanan UMNO dan Pas berulang kali mengisytiharkan sokongan terhadap kepimpinan Muhyiddin dan mencalonkan beliau untuk menjadi perdana menteri selepas pilihan raya umum kelak. – MalaysiaGazette
Abang Long@ Ah Long tu DAP dlm PH tu