Home Nasional Kerajaan digesa nasihat UAE berhubung Israel- Syed Ibrahim

Kerajaan digesa nasihat UAE berhubung Israel- Syed Ibrahim

Syed Ibrahim Syed Noh.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Moh menggesa kerajaan untuk menasihati Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menarik balik keputusannya menormalisasi hubungannya dengan Israel.

Tegasnya, tidak memadai untuk Malaysia sekadar menghormati hak kedaulatan UEA sedangkan implikasinya adalah kepada pengukuhan penguasaan Amerika Syatikat dan Israel di Timur Tengah sekali gus terus menindas hak kedaulatan negara dan rakyat Palestin.

“Saya juga tertanya apakah pandangan Duta Khas YAB Perdana Menteri ke Timur Tengah dalam hal ini.

“Amatlah wajar agar Duta Khas juga memainkan peranan penting dalam mempamerkan aspirasi Malaysia, sebagai sebuah negara pendukung keamanan dan keadilan mendepani konflik Palestin-Israel,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan yang sama, Syed Ibrahim memaklumkan satu petisyen mengecam Rancangan Pengilhakan Tanah Palestin di Tebing Barat yang ditandatangani oleh lebih 130 Ahli Parlimen telah diserahkan kepada pihak Kedutaan Amerika Syarikat dan Kedutaan Palestin semalam.

Petisyen yang berjaya mengumpulkan lebih 130 tandatangan ahli-ahli Parlimen terdiri daripada pihak Kerajaan dan pembangkang ialah sebahagian daipada cadangan yang diutarakan dalam usul yang telah disepakati sebulat suara oleh wakil pembahas daripada pihak Kerajaan dan pembangkang pada 16 Julai yang lalu.

Wakil ahli-ahli parlimen yang hadir dalam penyerahan tersebut ialah YB Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang), YB Kasthuriraani A/P Patto (Batu Kawan), YB Datuk Haji Hasanuddin Mohd Yunus (Hulu Langat), YB Chan Ming Kai (Alor Setar) dan YB Ahmad Tarmizi Sulaiman (Sik).

Delegasi telah disambut oleh Daniel Wright, Penolong Penasihat Politik Kedutaan Amerika Syarikat dan Tuan Yang Terutama Walid Abu Ali, Duta Palestin ke Malaysia.

“Penyerahan petisyen berjalan dengan lancar dan wakil-wakil ahli Parlimen mengambil peluang untuk berucap menyampaikan mesej bahawa petisyen ini ialah suara rakyat Malaysia yang mengecam sebarang bentuk penindasan, kekejaman dan pelanggaran hak asasi manusia,” katanya lagi.- MalaysiaGazette