
KUALA LUMPUR – Cyberview Sdn. Bhd. (Cyberview), pemaju Pusat Teknologi Cyberjaya mengumumkan pelantikan Tan Sri Mohd Zuki Ali sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif yang baharu berkuatkuasa pada 28 Julai lalu.
Mohd Zuki Ali, 58, menggantikan Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, yang tempoh pelantikannya berakhir pada 1 Mei lalu.
Beliau yang memegang jawatan Ketua Setiausaha Negara sejak 1 Januari lalu, memiliki pengalaman luas dan rekod prestasi yang teguh dalam perkhidmatan awam.
Beliau berada dalam perkhidmatan awam sejak 28 tahun lalu pernah berkhidmat di pelbagai kementerian dan kapasiti, termasuk di Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, serta Kementerian Sumber Asli dan Kementerian Alam Sekitar. – MalaysiaGazette