Home Utama Perkara terbaik adalah Bersatu sertai Muafakat Nasional

Perkara terbaik adalah Bersatu sertai Muafakat Nasional

Nazri Aziz
Nazri Aziz

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata jalan terbaik buat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah menyertai Muafakat Nasional yang terdiri daripada UMNO dan Pas.

“Perkara terbaik adalah untuk (Bersatu) menyertai MN (Muafakat Nasional), bersama dan teruskan dari situ,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan media mengenai kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkata parti itu mahu menyertai Muafakat Nasional (MN).

Malah Muhyiddin sebelum ini berkata, Majlis Tertinggi parti itu telah bersetuju untuk menyertai MN.

“Saya menerima baik sebab saya antara individu yang mula-mula sekali menawarkan supaya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masuk kembali UMNO sebab dibuang dan bukannya keluar sendiri.

“Jadi saya alu-alukan kenyataan Muhyiddin untuk menstabilkan negara. Seperti yang kita tahu Bersatu telah berpecah kepada dua – Merah dan Hitam (Blackout),” kata Nazri lagi.

Pada Julai lalu, Nazri mencadangkan sekiranya Muhyiddin kembali ke pangkuan UMNO, jawatan presiden parti juga diserahkan kepada Ahli Parlimen Pagoh itu.

Nazri sebelum ini menggesa agar Muhyiddin menyertai semula UMNO untuk mengukuhkan parti terbesar orang Melayu itu. – MalaysiaGazette