Home Politik PRK Slim: BN tidak berkempen di sekolah – Mohd. Zaidi

PRK Slim: BN tidak berkempen di sekolah – Mohd. Zaidi

Calon Barisan Nasional (BN) ,Mohd Zaidi Aziz menyantuni warga emas, Mariah Ahmad Razali, 88 sewaktu menziarahi di rumahnya sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 58 di Kampung Klah Baru , Tanjung Malim, Perak. foto AFFAN FAUZI, 18 OGOS 2020

SLIM RIVER – Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz menafikan beliau telah berkempen di sekolah untuk meraih undi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos ini.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim itu berkata, sejak mula berkempen Sabtu lalu, jadual jentera hanya tertumpu di kawasan dibenarkan berkempen terutama tempat tumpuan orang ramai seperti pasar, kedai makan dan rumah ke rumah.

“Jadual saya semuanya tiada yang masuk ke sekolah dan saya sendiri tidak hadir ke sekolah untuk berkempen.

“Saya lebih tumpu di kawasan orang ramai macam pasar pagi, restoran dan kedai-kedai kerana itu lebih dekat dan mesra.

“Rata-rata pengundi berpuas hati kerana boleh kenal calon dengan lebih rapat, malah mereka boleh sampaikan apa juga masalah kepada kita untuk didengar dan melihat apa bentuk penyelesaian yang boleh dibawa,” katanya.

Calon Barisan Nasional (BN) ,Mohd Zaidi Aziz menggunakan motosikal bersama jentera BN yang lain sewaktu berkempen sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 58 di Kampung Klah Baru , Tanjung Malim, Perak. foto AFFAN FAUZI, 18 OGOS 2020

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas berkempen dari rumah ke rumah di Kampung Klah Baru di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan terdapat pemimpin BN berkempen bagi pihaknya dalam satu majlis di sekolah.

Menurut Mohd. Zaidi, ketika ini, masyarakat mahu melihat hubungan BN, Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional memiliki kerjasama yang akrab pada PRK ini.

“Jika kita ada bukti kekuatan, orang akan lihat kita satu pasukan yang kuat dan susah untuk dipecahbelahkan,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Masa tagih undi, redah merata ceruk cari org susah. Sembang pulak mcm dah kenai sejak kecik. Mai dah menang, org susah pulak kena redah p cari nak minta bantuan. Harap2 akan tiba satu masa nanti rakyat Malaysia akan dapat pemimpin Islam yg bersama2 rakyat sebelum dan selepas mengundi. Aminnn

Comments are closed.