
PUTRAJAYA – Kedah belum lagi boleh diisytiharkan sebagai zon merah walaupun terdapat pertambahan kes baharu Kluster Tawar dan Sala yang merekodkan 47 kes Covid-19 setakat hari ini di negeri tersebut.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya tidak boleh menjadikan seluruh negeri sebagai zon merah Covid-19 hanya berdasarkan jumlah kes di negeri itu.
“Kalau lihat pada zon dan kawasan melebihi 40 kes baru boleh namakannya sebagai red zone (zon merah), dan setakat ini tiada kawasan zon merah di negeri itu.
“Lagipun kita kena faham zon merah tidak ditentukan berdasarkan jumlah kes di seluruh negeri tetapi ditentukan berdasarkan jumlah kes di sebuah daerah.
“Hasil pemantauan setakat ini, hanya zon kuning wujud di Kedah dan tidak ada zon merah di mana-mana daerah,” katanya dalam sidang media jangkitan harian Covid-19 di Kementerian Kesihatan petang tadi.
Dalam perkembangan sama, beliau juga menjelaskan wujud kes kluster Tawar di Pulau Pinang dan beberapa daerah sekaligus menyukarkan pasukan perubatan melakukan pengesanan bersasar.
Sebelum itu katanya, pasukan kesihatan terlebih dahulu akan menjejaki kontak rapat seperti ahli keluarga serta lokaliti kes contohnya di Pulau Pinang pengesanan kes dilakukan dengan menjejaki mereka yang terdedah dengan kes positif.
“Kita ada saluran untuk menjejaki mereka dan dengan menggunakan kaedah itu kita dapat mengesan kes positif dan ambil tindakan pencegahan selain mengenalpasti daerah dan kawasan,” tegasnya.
Dalam perkembangan sama, beliau juga menjelaskan bahawa sekolah di Kulim yang terkesan dari kluster Tawar telah ditutup selepas seorang guru dan tiga murid rakan sekelas diuji positif covid-19.
Malah katanya, ujian saringan Covid-19 juga telah dijalankan terhadap murid-murid dan guru di sekolah terbabit.
“Kita dah tutup sekolah tersebut dan buat ujian saringan dan sanitasi (sekolah). Kita sudah ambil intervensi positif terhadap sekolah tersebut dan berharap dalam seminggu dua kita dapat (melaksanakan) pembasmian kuman (terhadap sekolah tersebut),” katanya.
Beliau mengulas demikian selepas hari ini kementerian Pendidikan menyatakan pihak belum menerima arahan menutup sekolah-sekolah di Kulim, selepas pendedahan kes tersebut.
Menurut carta yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan semalam, terdapat empat kes baru di Kulim, Kedah yang melibatkan seorang guru dan tiga rakan sekelasnya (Kes 9,204 hingga 9,207) seorang gadis berusia 13 tahun (Kes 9,163), yang merupakan ahli keluarga kes indeks (Kes 9,113)-MalaysiaGazette