Home Utama Ucapan PM Muhyiddin Yassin pada Pelancaran Sukuk PRIHATIN

Ucapan PM Muhyiddin Yassin pada Pelancaran Sukuk PRIHATIN

Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Berikut adalah ucapan penuh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Pelancaran Sukuk PRIHATIN.

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Menghadap,

Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah,

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik pohon diampun,

1. Pertamanya izinkan patik bagi pihak Kerajaan Malaysia merafak sembah dan menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas limpah perkenan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku berangkat mencemar duli ke Majlis Pelancaran Sukuk Prihatin bertempat di Kementerian Kewangan pada hari ini.

2. Sesungguhnya keberangkatan ke bawah Duli Tuanku amat besar maknanya bagi patik-patik sekalian. Malah, ia dapat mempereratkan lagi ikatan kasih sayang dan kemesraan lambang kukuhnya hubungan antara Ke Bawah Duli Tuanku dengan patik-patik sekalian.

3. Ampun Tuanku, seterusnya patik mohon limpah perkenan ke bawah Duli Tuanku untuk patik mengalu-alukan kehadiran tetamu yang lain dan seterusnya meneruskan ucapan patik. Ampun tuanku.

• Yang Berhormat Mulia Tengku Dato’ Sri Zafrul bin Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan;

• Yang Berbahagia Tan Sri Mohd Zuki bin Ali,Ketua Setiausaha Negara;

• Yang Berhormat Tuan Mohd Shahar bin Abdullah, Timbalan Menteri Kewangan 2;

• Yang Berbahagia Dato’ Asri bin Hamidon, Ketua Setiausaha

• Perbendaharaan;

• Yang Berbahagia Datuk Nor Shamsiah binti Mohd Yunus, Gabenor Bank Negara Malaysia

• Yang Berbahagia Dif-Dif Kehormat, Warga Kerja Kementerian Kewangan, Wakil Pihak Bank, Tuan-Tuan dan Puan-Puan dan hadirin yang dihormati sekalian,

 

4. Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada warga Kementerian Kewangan dan pihak bank yang turut sama menjayakan majlis perasmian pada hari ini. Walaupun majlis ini diadakan semasa kita semua masih menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan atau PKPP, Kerajaan tetap cekal dan terus fokus mengikut strategi yang telah dirancang dalam usaha untuk memulihkan ekonomi negara. Ini demi memastikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat tetap diberikan keutamaan. Pelancaran Sukuk Prihatin berjumlah RM500 juta pada hari ini adalah bukti kesungguhan Kerajaan untuk meneruskan langkah-langkah tegas berdasarkan strategi 6R Kerajaan yang telahpun dinyatakan oleh Yang Berhormat Mulia Menteri Kewangan sebentar tadi.

5. Sehingga hari ini, bantuan Kerajaan kepada rakyat berjumlah RM295 bilion sedang disalurkanmelalui Pakej PRIHATIN dan PENJANA. Kedua-dua bentuk bantuan ini telah dapat membantu rakyat secara langsung untuk membina semula kehidupan mereka yang sedikit sebanyak terjejas akibat wabak Covid-19.

6. Alhamdulillah, kini ekonomi Malaysia berada dalam landasan lantunan semula. Ini dapat dilihat daripada beberapa penunjuk utama ekonomi yang telah mencatatkan pemulihan yang pantas sebaik sahaja sektor ekonomi dibuka semula. Contohnya:

a) Pertama, eksport negara berkembang 8.8% pada bulan Jun 2020 berbanding -25.5% pada bulan sebelumnya kepada RM82.9 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM20.9 bilion;

b) Kedua, Indeks Pengeluaran Perindustrian (Industrial Production Index) meningkat 26.2% pada bulan Jun berbanding bulan Mei 2020. Indeks sektor pembuatan pula melonjak 36.8% pada tempoh yang sama; dan

c) Ketiga, jualan perdagangan borong dan runcit juga terus menunjukkan perkembangan dua digit iaitu sebanyak 21.8% pada bulan Jun 2020 berbanding bulan sebelumnya. Jualan kenderaan bermotor pula berkembang 78.9% diikuti dengan perdagangan borong sebanyak 20.3% dan perdagangan runcit meningkat kepada 13.0% dalam tempoh yang sama.

7. Maka, dengan tanda-tanda pemulihan awal tersebut, ekonomi negara dijangka beransur-ansur pulih pada separuh kedua 2020 dan Insya-Allah, dijangka mencatat pemulihan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh iaitu sekitar 5.5% hingga 8.0% pada tahun 2021. Walaupun masih banyak usaha yang perlu kita sama-sama lakukan untuk membina semula ekonomi negara, saya yakin dengan tekad yang kuat dan semangat yang teguh, kita mampu menangani masalah ekonomi berikutan penularan wabak Covid-19 ini.

 

Saudara saudari sekelian,

8. Seperti yang telah dinyatakan oleh Yang Berhormat Mulia Menteri Kewangan, Kerajaan telah memperuntukkan suntikan fiskal berjumlahRM45 bilion untuk membantu Rakyat menghadapi cabaran ekonomi akibat wabak Covid-19. Namun, saya amat terharu apabila dimaklumkan bahawa Kerajaan telah menerima banyak tawaran yang jujur dan ikhlas daripada rakyat yang ingin membantu Kerajaan dalam menyokong langkah-langkah pemulihan ekonomi.

9. Keprihatinan sebegini yang ditunjukkan oleh rakyat, pada saya, adalah luar biasa dan mencerminkan penghayatan semangat Malaysia Prihatin. Saya tahu sekarang bukanlah waktu yang mudah untuk diharungi oleh setiap daripada kita. Kita semua merasai kesan akibat daripada wabak Covid-19. Tetapi saya tetap menghargai kalangan rakyat yang tampil ke hadapan untuk turut bersama-sama membantu Kerajaan membina semula ekonomi Negara. Ini adalah suatu bentuk pengorbanan yang sangat besar dan dihargai Kerajaan.

10. Melihat kepada semangat rakyat yang ingin turut serta membantu memacu semula ekonomi negara yang kita sayangi ini, maka Kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakanpendekatan secara bottom-up untuk menerbitkan Sukuk Prihatin. Inisiatif Sukuk ini membuka peluang langganan kepada orang awam dan pihak korporat. Usaha ini merupakan suatu bentuk penyatuan sumber yang mencerminkan solidariti Rakyat Malaysia dalam membina semula ekonomi Negara.

11. Langganan dari terbitan Sukuk Prihatin ini akan disalurkan ke dalam Kumpulan Wang Covid-19. Program-program yang akan dibiayai oleh Sukuk PRIHATIN adalah bagi manfaat pihak yang terkesan oleh Covid-19. Ini termasuklah:

a. Pertama, menambahbaik connectivity di sekolah-sekolah di kawasan pedalaman, agar anak-anak kita yang terkesan boleh meneruskan pembelajaran secara digital;

b. Kedua, memberi sokongan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana ataupun PKS mikro yang terjejas akibat Covid-19, terutamanya usahawan wanita; dan

c. Ketiga, Kerajaan juga akan memperuntukkan sebahagian dari dana Sukuk Prihatin untuk perbelanjaan kesihatan, termasuk penyelidikan penyakit berjangkit atau infectious diseases. Ini akan memanfaatkan usaha Kementerian Kesihatan dan institusi penyelidikan awam serta institut pengajian tinggi dalam kajian terhadap sesuatu penyakit atau wabak berjangkit.

Saudara saudari sekelian,

12. Oleh kerana dana Sukuk Prihatin ini tertumpukepada golongan yang benar-benar memerlukan, Kerajaan berjanji akan memastikanseboleh mungkin, tidak ada yang ketinggalan dalam usaha pemulihan ekonomi susulan wabak Covid-19 ini – No One Will Be Left Behind. Ini juga adalah bukti kesinambungan hasrat Kerajaan dalam melaksanakan Wawasan Kemakmuran Bersama atau Shared Prosperity Vision yang menjadi tonggak aspirasi Kerajaan Perikatan Nasional.

 

13. Wawasan Kemakmuran Bersama memberi fokus terhadap tiga perkara utama Kerajaan, iaitu untuk menstruktur semula ekonomi dengan memastikan pembangunan untuk semua, menangani ketidaksamaan dengan merapatkan jurang pendapatan dan membina negara ke arah negara yang bersatu, makmur dan bermaruah. Inisiatif Sukuk Prihatin memenuhi ketiga-tiga fokus tersebut, dan merupakan sebahagian pendekatan yang bakal memanfaatkan kumpulan sasaran yang paling terkesan akibat wabak Covid-19 ini. Saya yakin, usaha murni ini akan memastikan rakyat dapat menikmati taraf hidup yang sewajarnya melalui pendekatan terbaik hasil kerjasama Kerajaan dan rakyat.

 

14. Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada warga kerja Kementerian Kewangan dan juga pihak bank yang telah turut serta menjayakan penerbitan Sukuk Prihatin.

15. Kerajaan mengharapkan semua pihak dapat menyambut baik inisiatif ini sebagai satu pendekatan berterusan di peringkat pemulihan ekonomi yang bukan sahaja membantu negara secara amnya, tetapi pelaburan  yang memberi pulangan kepada rakyat secara khususnya. Moga semangat #KitaUntukKita dan #MalaysiaPrihatin akan terus berkobar dalam sanubari setiap rakyat Malaysia.

 

Ampun Tuanku,

 

16. Demikianlah sahaja persembahan ucapan patik pada hari ini, patik sekali lagi merafak sembah, menjunjung setinggi-tinggi kasih atas perkenan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku berangkat ke majlis yang amat bermakna pada hari ini. Patik juga mendoakan agar ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku berada di dalam perlindungan Allah Subhanahu Wataala dan dikurniakan kesihatan yang sempurna serta memerintah negara Malaysia dengan aman, makmur dan sejahtera.

17. Ampun Tuanku. Menjunjung kasih, Tuanku.

 

Wabillahi Taufik Walhidayah, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

— BERNAMA