LONDON – Britain merancang untuk melaksanakan saringan biasa Covid-19 secara besar-besaran bagi membendung penularan virus dan menghadkan sekatan yang telah melumpuhkan salah satu negara di dunia yang paling terkesan akibat pandemik.
Setiausaha Kesihatan, Matt Hancock berkata, kerajaan negara itu sedang mencuba satu pakej ujian baharu yang lebih pantas dan boleh memberikan keputusan segera.
Mereka berharap dapat melaksanakannya menjelang akhir tahun ini, lapor Reuters.
Kerajaan di bawah Perdana Menteri, Boris Johnson itu teruk dikritik berikutan caranya mengendalikan pandemik yang mana rata-rata mengatakan mereka terlalu lambat untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan serta lewat melakukan ujian untuk mengetahui sejauh mana virus tersebut telah tersebar.
Britain ketika ini mencatatkan kadar kematian tertinggi di Eropah dan mengalami penguncupan ekonomi terburuk berbanding negara-negara maju lain.
“Ujian massa, ujian terhadap populasi yang mana orang ramai boleh diuji dengan kerap akan dijadikan sebagai satu norma.
“Ini membolehkan kita mendapatkan semula kebebasan dan ini merupakan projek besar kerajaan sekarang,” kata Hancock dalam satu temubual dengan BBC Radio.
Jelasnya, makmal-makmal penyelidikan negara itu di Porton Down telah mencuba ujian terbaharu menggunakan air liur yang mana sampel tidak perlu dihantar ke makmal untuk diuji.
Ini membuatkan keputusan ujian dapat diperolehi dengan segera.
“Terdapat teknologi-teknologi baharu yang kita beli dan uji sekarang.
“Kami akan laksanakan pada akhir tahun ini,” katanya. – MalaysiaGazette