Home Dunia Jakarta bersedia sambut peningkatan mendadak kelahiran bayi

Jakarta bersedia sambut peningkatan mendadak kelahiran bayi

Penduduk umur muda di negara ini menurun. Gambar hiasan

JAKARTA- Gabenor Jakarta, Anies Baswedan mengarahkan anak-anak buahnya untuk membuat persiapan bagi menyambut kelahiran bayi-bayi yang lebih ramai daripada biasa di bandaraya itu dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Ini adalah hasil dasar duduk di rumah dan kawalan pergerakan bagi mengekang penularan Covid-19.

“Terdapat peningkatan kehamilan di seluruh dunia (disebabkan oleh pandemik).

“Kami perlu membuat persiapan bagi menghadapi kemungkinan tersebut,” katanya dalam satu mesyuarat di Dewan Bandaraya baru-baru ini.

Dalam mesyuarat tersebut, Anies meminta pembantu pentadbiran Jakarta bagi kebajikan awam, Catur Laswanto mengumpul data kehamilan di bandaraya berkenaan bagi tempoh Mac hingga April bagi membolehkan mereka membuat anggaran berapa banyak kelahiran yang perlu disambut dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Beliau turut mengarahkan pihak berkuasa berkaitan memastikan bidan, pakar perbidanan serta pusat-pusat kelahiran di seluruh bandaraya tersebut bersedia untuk menyambut kelahiran bayi yang mendadak. – Agensi