KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menggariskan beberapa strategi bagi meningkatkan kebolehpasaran siswazah pascapandemik COVID-19 yang termasuk membangunkan portal Graduates References Hub for Employment and Training atau ringkasnya GREaT.
Menterinya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, antara perkhidmatan yang bakal disediakan dalam portal sehenti itu adalah perkhidmatan padanan pekerjaan, permohonan untuk reskilling atau kemahiran baharu dan upskilling atau meningkatkan kemahiran, permohonan kemudahan penajaan dan bantuan kewangan bagi melanjutkan pelajaran.
“Usaha ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan amat peka dan prihatin dalam menangani masalah pengangguran dan kebolehpasaran graduan. Namun demikian, pelajar juga harus berusaha meningkatkan kemahiran dalam menghadapi cabaran masa kini,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian inisiatif PENJANA HRDF di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan dan turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Noraini berkata, KPT turut memantapkan pelaksanaan program reskilling dan upskilling dengan memfokuskan bidang latihan mendapat permintaan tinggi seperti kejuruteraan robotik, kecerdasan buatan (AI) dan kejuruteraan data.
“Di samping itu latihan berkaitan insaniah seperti kepimpinan, komunikasi, ketrampilan diri dan sebagainya turut dilaksanakan secara kolaborasi strategik dengan pelbagai agensi,” katanya.
Sementara itu, Reezal Merican berkata, pihaknya turut mengambil inisiatif kolaborasi rentas kementerian dengan menjelajah semua kementerian berkaitan bagi memperkasa dan mendaya upaya belia pasca-COVID-19.
“Hasilnya, kolaborasi KBS dan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Kerja Raya telah dapat menghasilkan Skim Perantisan Nasional (SPN) yang mengambil konsep “ditempatkan dan dilatih” di pelbagai syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat multinasional (MNC) sebagai cushion atau penampan dengan lebih 10,000 peluang pengalaman pekerjaan,” katanya.
Kementerian Belia dan Sukan turut bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melalui Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC) bagi menghasilkan program myGIG yang menawarkan 2,000 peluang pekerjaan kepada belia untuk menyertai program myGIG Servis dan myGIG Digital Freelance. – Bernama