Home Nasional NUTP minta bertenang, KPM siasat video ayah pandai masak ketum

NUTP minta bertenang, KPM siasat video ayah pandai masak ketum

KUALA LUMPUR – Penyebaran rakaman video menunjukkan seorang murid yang mengaku bapanya pandai memasak air ketum selepas menjawab soalan gurunya tidak sepatutnya berlaku.

Ini kerana perkara itu berlaku di sekolah dan didakwa dirakam oleh seorang guru, kata Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Amiruddin Awang.

Katanya, beliau telah melihat rakaman video yang tular di media sosial namun tidak mengetahui bagaimana punca sebenar video berkenaan boleh tular.

“Saya yakin guru yang bertanyakan kepada murid berkenaan tidak ada niat tersembunyi semasa merakamkan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

“Semua guru sentiasa mahukan yang terbaik untuk anak murid dan pihak NUTP juga yakin bahawa jawapan murid tersebut semasa ditanya di luar jangkaan guru itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perkara itu tidak berlaku jika semua pihak sedar akan tanggungjawab dan peranan mereka.

Sebuah video membabitkan kanak-kanak sekolah tular hari ini memaparkan soalan seorang guru wanita bertanya bapa siapa pandai memasak, sebelum seorang kanak-kanak mengangkat tangan dan menjawab bapanya pandai memasak air ketum.

Amiruddin berkata, pihaknya akan menunggu maklumat lengkap berkenaan video yang tular itu sama ada ia dilakukan oleh guru itu atau pihak lain.

Tambahnya, sekiranya perkara itu dilakukan oleh guru terbabit, ia adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab kerana membabitkan hal ehwal murid dan pihaknya menyerahkan kepada Kementerian Pendidikan bagi membuat siasatan.

Ujar beliau, pihaknya meminta semua pihak bertenang dan memberi ruang kepada Kementerian Pendidikan Malaysia menjalankan siasatan.

Katanya, guru seharusnya berhati-hati dengan kecanggihan teknologi masa kini supaya tidak melakukan perkara di luar batasan yang boleh menjejaskan institusi perguruan. – MalaysiaGazette

+ posts