KUALA LUMPUR – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul kembali beroperasi mulai 4 petang tadi selepas ditutup sebelah pagi selepas insiden seorang individu didakwa suspek memiliki simptom Covid-19.
Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner, S. Shanmugamoorthy berkata, pembukaan semula IPD itu dilaksanakan selepas proses nyah kuman dan sanitasi dilakukan.
Katanya, sekitar 10.20 pagi tadi seorang lelaki India berumur umur 81 tahun telah masuk ke IPD Sentul untuk membuat laporan polis.
“Pada waktu tersebut hanya selain anggora dan hanya beliau seorang sahaja yang berada di tempat duduk berdekatan kaunter pertanyaan.
“Pemerhatian awal oleh anggota kaunter Balai Polis Sentul di kaunter pertanyaan mendapati pengadu menunjukkan tanda-tanda disyaki mempunyai simptom Covid-19 kerana sesak nafas dan batuk serta dipercayai baru keluar dari hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Shanmugamoorthy, tanpa melengahkan masa pihak perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) dimaklumkan segera sebelum tiba ke balai polis berkenaan.
Katanya, pada jam 11 pagi tadi ambulans HKL telah membawa pengadu ke hospital untuk melakukan pemeriksaan saringan Covid-19.
“Tindakan sanitasi serta nyahkuman disekitar Balai Polis Sentul telah dibuat sejurus itu dan semua petugas tidak dibenarkan keluar dari lokasi sehingga dimaklumkan HKL.
“Pada jam 2.20 petang tadi pihak kami dimaklumkan HKL bahawa pesakit tersebut bukan pesakit Covid-19 sebaliknya merupakan pesakit biasa yang pernah dimasukkan dan dirawat dalam wad HKL.
“Balai Polis Sentul akan beroperasi seperti biasa mulai jam 4 petang ini selepas proses sanitasi kedua selesai dilaksanakan,” katanya.-MalaysiaGazette