KUALA LUMPUR – Pasaran motosikal tempatan kini ‘dikejutkan’ dengan kehadiran pemain baharu di dalam industri permotoran apabila muncul jenama AVETA, yang secara diam-diam membuat kemunculan November tahun lalu.
Aveta dipasar dan dikeluarkan oleh Aveta Global Marketing Sdn. Bhd, telah mula menjual dua model asas untuk pasaran tempatan iaitu Aveta DY90 dan Aveta RX110.
Buat masa ini dua model tersebut menjadi asas kepada Aveta Global Marketing untuk menembusi pasaran tempatan dan diberitakan ketika ini telah menjual lebih 2,000 buah motosikal DY90 dan RX110 sehingga kini.
Kedua-dua model tersebut dipasang sepenuhnya secara pemasangan terurai atau CKD dijangka memperkenalkan beberapa buah model baru dalam beberapa bulan akan datang.
Menurut sumber industri, kedua-dua model berkenaan diperkenalkan di pasaran tempatan dalam bulan Mac 2020 yang lalu.
Difahamkan kedua-dua model tersebut menyamai model motosikal yang pernah dikeluarkan oleh sebuah syarikat pemasangan tempatan beberapa tahun dahulu.
Namun ia tidak dipastikan kesahihan sama ada dua model tersebut adalah sama atau tidak.
Harga jualan bagi model Aveta DY90 ialah RM2,880 tanpa insuran yang merupakan sebuah model kapcai berkapasiti 90cc (4-lejang, silinder tunggal, enjin melintang), seterusnya dipadankan transmisi empat kelajuan berputar.
Aveta DY90 dan boleh didapati dalam tiga pilihan warna iaitu merah, biru dan hitam.
Manakala model RX110 merupakan model kapcai mempunyai penampilan lebih sporty dan dijual sekitar RM4,039.20 tanpa insuran.
Model tersebut dilengkapi enjin empat lejang satu silinder yang dipercayai bersesaran 110cc, dengan sistem sejukan udara dan transmisi empat kelajuan berputar.
Kuasa yang dihasilkan adalah sebanyak 7.8hp (5.8kW) @ 7,500rpm dengan tork maksimum 7.8Nm @ 6,500rpm.
Aveta RX110 mempunyai tangki petrol dengan isian penuh 4.2 liter, suspensi depan teleskopik, suspensi belakang berkembar (gas, teleskopik), brek cakera di bahagian roda depan, brek jenis dram di bahagian roda belakang, rim aloi 17 inci, saiz tayar depan 70/90-17, saiz tayar belakang 80/90-17 dan berat bersih motosikal 123 kilogram.
Model tersebut tersedia dalam tiga pilihan warna iaitu merah, hijau dan biru.
Difahamkan ada beberapa model lagi akan diperkenalkan tidak lama lagi.
Sehingga berita ini ditulis, tiada sebarang pengesahan diperolehi dari pihak AVETA yang dilihat mengunci mulut berkaitan kesahihan tersebut.
Mengikut sumber, syarikat tersebut begitu terperinci di dalam perancangan mereka dan lebih suka merendah diri dan beroperasi secara diam.
Mungkin belum masa dan ketika buat AVETA menonjolkan diri lagi ketika ini, ibarat pepatah diam-diam ubi berisi. – MalaysiaGazette