Home Utama Kemasukan pelajar IPTA di Kedah, Sarawak ditangguhkan jika kes Covid-19 meningkat

Kemasukan pelajar IPTA di Kedah, Sarawak ditangguhkan jika kes Covid-19 meningkat

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad bercakap kepada media pada Program Ziarah Kasih sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 58 di Kampung Rahmat Changkat Sulaiman, Sungkai, Perak. foto AFFAN FAUZI, 20 OGOS 2020

SLIM RIVER – Kemasukan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam di Kedah dan Sarawak yang akan memulakan pengajian mereka semula pada Oktober ini mungkin  ditangguhkan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, penangguhan akan dibuat berikutan kes pandemik Covid-19 yang semakin menular di negeri tersebut selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kerajaan negeri yang terlibat.

“Pelajar akan mula masuk Oktober, jadi bergantung kepada keadaan semasa COVID-19 dan prosedur operasi standard (SOP) juga telah ditekankan oleh pihak kementerian supaya setiap universiti mengikut SOP yang ditetapkan.

“Tetapi bagi kawasan seperti di Kedah, ia adalah bergantung kepada keadaan semasa tempat itu. Saya dapat makluman dalam beberapa minggu lepas, Sarawak ketika itu pun tinggi kes (Covid-19),” katanya.

Gelagat Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad bersama calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz menyantuni warga emas, Sapiaai Itam, 68 sempena Program Ziarah Kasih kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 58 di Kampung Rahmat Changkat Sulaiman, Sungkai, Perak. foto AFFAN FAUZI, 20 OGOS 2020

Beliau berkata demikian kepada media selepas berkempen bersama calon Barisan Nasional, Mohd. Zaidi Aziz sempena Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Slim di Kampong Rahmat Changkat Sulaiman di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas berhubung kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi berikutan penularan wabak Covid-19 khususnya di negeri berkenaan.

Noraini menambah, bagi kemasukan pelajar IPT swasta, ia bergantung kepada keputusan IPT itu sendiri kerana ia melibatkan kemasukan yang berbeza.

Namun tegas beliau, mereka turut diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk pelajar yang pulang dari luar negara yang diwajibkan kuarantin. – MalaysiaGazette