KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini mengumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama kemnya secara rasmi.
Beliau menyatakan perkara itu dalam ucapannya pada Kongres Negara ‘Bersatu untuk Malaysia’ di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
“Dengan penuh ikhlas dan hati tulus saya dan ketumbukan dari Perlis sampai Sabah, sama ada Penggerak Komuniti Negara, Pemuda Negara, Nations of Women (NOW) dan Penggerak Wanita Muda Negara, dengan ini kami isytiharkan untuk sertai Bersatu.
“Kami menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia. Sekarang adalah masanya untuk bersatu demi negara, bersatu untuk Malaysia,” katanya.
Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu kemudiannya menerima kad keahlian diserahkan sendiri oleh Muhyiddin sebagai simbolik penerima kemasukan ke Bersatu.
Bertemakan Bersatu untuk Negara, kongres tersebut diadakan bagi mengumpulkan NGO-NGO yang berkaitan dengan bekas pemimpin PKR, iaitu Penggerak Komuniti Negara, Pemuda Negara, Wanita Muda Negara dan Nation of Women (NOW).
Sejumlah 5,000 hadirin memenuhi Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) di Kuala Lumpur hari ini.
“Langkah Sheraton” pada Februari lalu membawa kepada tumbangnya pentadbiran Pakatan Harapan dan perpecahan dalam PKR, dengan parti itu menyingkirkan pemimpin dan anggota yang dikaitkan dengan Azmin, yang ketika itu merupakan timbalan presiden.
Penyertaan kumpulan Azmin hari ini menjadikan Bersatu kini mempunyai 32 anggota Parlimen, parti ketiga terbesar di Dewan Rakyat selepas UMNO dan DAP. – MalaysiaGazette