Home Sukan FAS Soccer Schools dapat pengiktirafan FAM

FAS Soccer Schools dapat pengiktirafan FAM

FAS Soccer Schools

KUALA LUMPUR – Program pembangunan bola sepak akar umbi kendalian Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Soccer Schools mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi Piagam SupaRimau berstatus emas.

Menurut kenyataan FAS hari ini, pengiktirafan berkenaan diserahkan kepada Setiausaha Agung FAS Dr Johan Kamal Hamidon dalam satu majlis yang diadakan di Pusat Latihan FAS baru-baru ini.

Menurut FAS, usaha FAM melancarkan program Piagam SupaRimau bagi menaikkan martabat dan pemerkasaan akademi bola sepak akar umbi di seluruh negara selayaknya diberi pujian kerana ia bukan sahaja meletakkan penanda aras baharu kepada program pembangunan sedia ada, malah mewujudkan satu ekosistem bola sepak lebih sistematik dan dinamik.

“Kewujudan piagam ini juga bakal mempromosikan lebih banyak akademi bola sepak akar umbi, membawa ke tahap lebih tinggi dan sistematik, seterusnya membawa banyak manfaat kepada komuniti bola sepak secara umumnya.

“Akademi bola sepak yang wujud di seluruh negeri Selangor juga menunjukkan minat dan memberikan respon yang positif untuk turut terlibat dalam program ini dan dijangka lebih banyak penerima piagam akan muncul di negeri ini,” menurut kenyataan FAS.

Program FAS Soccer Schools adalah program akar umbi yang menitikberatkan pengenalan kepada pembangunan bola sepak bermula dari kanak-kanak sekolah rendah berusia tujuh hingga 12 tahun di seluruh Selangor.

Ia juga adalah program jangka panjang untuk melahirkan individu holistik melalui perkembangan fizikal, mental dan pembangunan sosial melalui pendekatan bola sepak.

“FAS berterima kasih kepada FAM di atas pengiktirafan ini yang juga pengukuhan kepada program pembangunan bola sepak akar umbi. Piagam ini juga bakal menjadi garis panduan dan kayu ukur untuk program-program pembangunan bola sepak akar umbi di seluruh negara, khususnya di negeri Selangor,” menurut FAS.- BERNAMA