CARACAS – Membeli peluru bepandu daripada Iran merupakan ‘idea baik’, kata Presiden Venezuela, Nicolas Maduro sehari selepas Colombia berkata Venezuela sedang mempertimbangkan rancangan seumpama itu ketika hubungan antara Caracas dan Tehran berkembang.
Pada Mei lalu, Iran membekalkan minyak kepada Venezuela bagi meringankan kekurangan kronik bekalan itu yang dialaminya, yang mana ia mencetuskan amaran di Washington apabila kedua-dua buah negara tersebut mengembangkan hubungan perdagangan ketika Washington berusha secara agresif untuk melaksanakan program sekatan, lapor Reuters.
“Ia tidak pernah terlindas pada saya, ia tidak pernah terlintas pada kita,” kata Maduro di kaca televisyen bersama ahli-ahli Kabinet, mengarahkan Menteri Pertahanan, Vladimir Padrino melakukan tindakan susulan dan memberitahu Kabinetnya secara berjenaka untuk merahsiakan rancangan itu.
“Padrino, ia adalah idea yang baik untuk bercakap dengan Iran mengenai peluru berpandu jarak dekat, sederhana dan jauh yang mereka ada dan jika ia berlaku, (akan) mewujudkan hubungan yang baik kita dengan Iran,”.
Pada Khamis lalu, Presiden Colombia, Ivan Duque yang memetik sumber perisikan berkata, Maduro sedang meninjau untuk membeli peluru berpandu Iran dan sedang menguruskan senjata buatan Rusia dan Balarus kepada kumpulan bersenjata Colombia.
Pembelian senjata dilihat tidak mungkin dilakukan Maduro yang mana kerajaannya sedang bergelut untuk membeli makanan asas dan ubat atau menyediakan bahan bakar kepada penduduk negara itu berikutan sekatan yang dikenakan selain loji penapisan yang tidak berfungsi di negara tersebut. – MalaysiaGazette