BUKIT MERTAJAM – Seorang lelaki yang menghidap masalah mental cedera di muka selepas dipukul sekumpulan individu yang tidak berpuas hati setelah kereta mereka dilanggar oleh mangsa dalam kejadian di Taman Alma Jaya, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, SPT ACP Shafee Abd Samad berkata, dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, lelaki berusia 46 tahun berkenaan memandu kereta jenis Honda City milik abangnya dan sedang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri upacara keagamaan di sebuah tokong.
“Lelaki itu dipercayai telah melanggar lebih 10 buah kereta yang terdapat sekitar kawasan Bukit Kecil dan Alma, namun mangsa mengakui tidak sedar apa yang dilakukannya.
“Sebaik tiba di rumah, dia didatangi kira-kira 10 lelaki yang bertindak memukulnya menggunakan beberapa objek, termasuk topi keledar kerana berang serta tidak berpuas hati berikutan kenderaan mereka dilanggar mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, ekoran kejadian itu, mangsa yang juga seorang penganggur mengalami kecederaan di bahagian bawah mata kiri, atas hidung dan atas kelopak mata kanan serta menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam (HBM).
Shafee berkata, semua suspek yang memukul mangsa bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis yang dihubungi oleh keluarga mangsa.
Katanya, pihak psikiatri HBMÂ mengesahkan mangsa adalah pesakit mental dan pernah menerima rawatan di hospital itu serta akan dirujuk ke Hospital Psikiatri, Pulau Pinang.
“Polis ada menerima dua laporan berhubung kenderaan dilanggar oleh lelaki tersebut dan siasatan masih dijalankan,” katanya.
Menurutnya, usaha mengesan individu yang terbabit dalam kejadian pukul itu giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaaan.
Justeru, orang ramai dinasihatkan agar tidak mengambil tindakan sendiri sebaliknya melaporkan kepada pihak polis mengenai sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang, katanya. – Bernama