Home Sukan Liga Super: TFC kejar JDT

Liga Super: TFC kejar JDT

KUALA LUMPUR – Selepas hampir enam bulan ditangguhkan akibat penularan wabak Covid-19, saingan CIMB Liga Super 2020 kembali bersambung semalam bermula dengan perlawanan tertunda yang melibatkan pasukan Petaling Jaya City FC (PJ City) menentang Terengganu FC (TFC).

Dalam perlawanan yang berlangsung tanpa kehadiran penonton di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya itu menyaksikan skuad TFC menewaskan tuan rumah 2-0.

Pelawat lebih menguasai perlawanan dan kerap memberi ancaman berbahaya melalui gerakan penyerang import dari Mauritania, Dominique Da Sylva yang sering memberi masalah kepada benteng pertahanan lawan.

Dia berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-31 hasil larian pantas dan keputusan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama apabila skuad PJ City dilihat buntu mencari jaringan penyamaan.

Da Sylva sekali lagi mencuri tumpuan apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke 73 melalui  jaringan ‘chip’ yang mudah menewaskan penjaga gol PJ City.

Ini adalah gol keenam beliau selepas empat perlawanan Liga Super, sekaligus muncul sebagai penjaring terbanyak setakat ini.

Kemenangan 2-0 itu turut meletakkan skuad kendalian Nafuzi Zain dalam kedudukan ketiga teratas Liga Super dengan tujuh mata di belakang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan 10 mata dan Perak dengan lapan mata.

Sementara itu, PJ City kekal di tangga ke-10 dengan empat mata selepas mencatat satu kemenangan dan satu seri.

Enam lagi aksi Liga Super akan kembali bersambung pada minggu depan setelah mendapat kebenaran rasmi daripada kerajaan. – MalaysiaGazette