Home Nasional MN: Zahid, Hadi berkongsi satu pentas

MN: Zahid, Hadi berkongsi satu pentas

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Ceramah Muafakat Nasional sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N58 Slim di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi, Slim River, Perak. foto AFFAN FAUZI, 23 OGOS 2020

SLIM RIVER – Ceramah Muafakat Nasional (MN) malam ini menemukan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berkongsi satu pentas sama di sebalik timbulnya isu pendaftaran Perikatan Nasional (PN).

Hadir sama adalah Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya Pas, Razman Zakaria pada program di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi di sini.

Kehadiran kedua-dua pemimpin yang mana parti mereka pernah menjadi seteru utama selama berpuluh tahun diumumkan pengacara majlis.

Ahmad Zahid tiba pukul 9.15 malam dengan disambut alunan selawat oleh orang ramai yang memenuhi dewan.

Kira-kira 10 minit kemudian, Abdul Hadi pula muncul yang disambut laungan takbir oleh penyokong parti itu.

Tamat ceramah mereka, suasana menjadi sayu apabila lagu Teman Sejati nyanyian Brothers dinyanyikan semua tetamu di dalam dewan.

Sementara itu, bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP), satu layar skrin dipasangkan di luar dewan bagi memberi peluang kepada mereka yang tidak dapat masuk untuk mendengar ceramah Ahmad Zahid dan Abdul Hadi.

MN kini berdepan isu pendaftaran dalam PN apabila Pas bersetuju menyertai Bersatu bersama empat parti lain.

UMNO pula kekal dengan pendirian untuk mendaftar dalam PN dan kekal dalam BN untuk menggunakan lambang dacing.

Pada September tahun lalu, Piagam Muafakat Nasional dimeterai UMNO dan Pas antara lain bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.

Elemen berkenaan terkandung dalam piagam yang ditandatangani pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Namun pada minggu lalu, Majlis Pimpinan Bersatu bersetuju menyertai MN yang mendukung PN sebagai gabungan besar. – MalaysiaGazette