Home Utama Penguatkuasaan kuarantin wajib tanggungjawab polis

Penguatkuasaan kuarantin wajib tanggungjawab polis

Dr. Jemilah Mahmood

PUTRAJAYA- Penguatkuasaan terhadap perintah wajib kuarantin adalah di bawah bidang kuasa polis dan bukannya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut Penasihat Khas Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood, ramai yang terkeliru dengan perkara tersebut kerana Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342) adalah di bawah KKM.

“Akta 342 adalah jelas. Tugas KKM adalah mengeluarkan perintah dan memastikan orang awam mematuhinya.

“Sekiranya terdapat pihak yang ingkar terhadap arahan berkenaan, KKM akan memaklumkan perkara tersebut kepada peguam atau pihak polis untuk mengambil tindakan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelepasan Kayuhan NNCF Virtual Ride 2020 di sini hari ini.

Dr. Jemilah berkata demikian ketika ditanya mengenai kritikan orang ramai terutamanya di media-media sosial berhubung tindakan KKM yang dikatakan berdiam diri apabila Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali yang tidak mematuhi perintah kuarantin wajib selepas pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.

Semalam, KKM mengeluarkan kenyataan yang mengatakan Ahli Parlimen Kuala Nerus itu telah dikompoun sebanyak RM1,000 pada 7 Ogos lalu kerana melanggar Akta 342.

Tambah Dr. Jemilah, KKM telah melaksanakan tugas mereka dengan baik dalam membendung penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Katanya, sekarang adalah masanya untuk rakyat Malaysia pula memainkan peranan mereka bagi memastikan negara dapat keluar daripada pandemik ini.- MalaysiaGazette