Home Dunia Penyerang masjid tiba di Christchurch, keputusan mahkamah esok

Penyerang masjid tiba di Christchurch, keputusan mahkamah esok

Brenton Tarrant. foto agensi

SYDNEY – Suspek pembunuhan 51 umat Islam pada tahun lalu tiba di Christchurch hari ini bagi berhadapan keputusan mahkamah esok.

Siaran televisyen menunjukkan Brenton Tarrant keluar dari pesawat tentera udara New Zealand di Lapangan Terbang Christchurch petang ini dengan memakai jaket dan topi keselamatan dan diringi anggota tentera sebelum diarahkan menaiki sebuah van berwarna putih.

Dia mengaku bersalah terhadap 51 pertuduhan membunuh, 40 pertuduhan cubaan membunuh dan satu pertuduhan melakukan tindakan keganasan.

Tarrant dipindahkan ke Christchurch, bandar di mana insiden tembakan berlaku, dari Penjara Auckland di Paremoremo, lapor New Zealand Herald.

Sebuah mahkamah di Christchurch akan memulakan pendengaran keputusan esok, di mana mereka yang terselamat dalam serangan itu serta ahli keluarga akan membuat kenyataan mengenai kesan terhadap mangsa, lapor Reuters.

Tarranr, warga Australia, akan dijatuhkan hukuman selepas dibenarkan membuat kenyataan.

Pesalah membunuh akan menjalani hukuman mandatori penjara seumur hidup.

Hakim boleh menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan dibebaskan, hukuman yang tidak pernah dijatuhkan di New Zealand.

Seorang jurucakap polis enggan mengulas mengenai pergerakan Tarrant, merujuk Reuters kepada Jabatan Pemulihan daerah.

Seorang jurucakap di situ enggan mengulas kerana ‘kepentingan keselamtan awam dan keselamtan operasi’. – Agensi