Home Utama Perikatan Nasional disertai lima parti termasuk komponen BN – Azmin

Perikatan Nasional disertai lima parti termasuk komponen BN – Azmin

Menteri Kanan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang baru menyertai parti PPBM, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bercakap pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Media sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 58 di Slim River, Perak. foto AFFAN FAUZI, 23 OGOS 2020.

SLIM RIVER – Pendaftaran Perikatan Nasional (PN) mengandungi lima parti yang bersetuju untuk bersama-sama gabungan itu.

Menurut Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, antara lima parti itu, ada sebilangan adalah daripada komponen Barisan Nasional (BN).

“Lima parti termasuk Bersatu.

“Ada (komponen BN), bukan atas nama gabungan (BN).

“Dia (PN) mewakili parti yang berkenaan. Jumlah dalam pendaftaran Perikatan Nasional adalah lima parti,” katanya dalam sidang media di Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Bagaimanapun, Azmin berkata, senarai parti yang menyertai Perikatan Nasional akan diumumkan secara rasminya oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kita ambil sikap terbuka ada anggota-anggota parti yang telah pun bersetuju secara rasmi untuk sertai Perikatan Nasional setakat ini ada lima komponen yang telah pun berdaftar dengan ROS dan Perdana Menteri akan membuat pengumuman dalam masa terdekat tentang status permohonan Perikatan Nasional daripada ROS.

“Kepada anggota parti yang lain kita terbuka kerana matlamat kita adalah sama iaitu memastikan kerajaan PN ini stabil kerana hanya dengan kestabilan kita boleh menjamin keutuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Itu matlamat dan prinsip yang kita pegang hari ini,” katanya.

Semalam, Azmin berkata butiran lanjut berhubung PN akan diumumkan malah semua keperluan pendaftaran sudah dipenuhi, justeru PN mendapat pengesahan RoS.

Sebelum ini Pas berkata, pihaknya akan menyertai gabungan parti kerajaan itu tanpa pembabitan BN.

Malam ini kepimpinan Muafakat Nasional yang terdiri daripada Pas dan UMNO akan mengadakan pertemuan empat mata antara kedua-dua presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Zahid berkata, UMNO akan minta penjelasan Pas berhubung tindakan parti itu menyertai PN bersama Bersatu. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. aku dah cakap Zahid Hamidi bukan spesis leader tapi spesis follower je… skrg Zahid dah cornered oleh middin dgn zemin…

Comments are closed.