TEHRAN – Kebakaran yang berlaku di kemudahan nuklear utama Iran di Natanz disebabkan perbuatan sabotaj.
Namun Pertubuhan Tenaga Atomik Iran (IAEO) tidak mendedahkan dalang di sebalik insiden tersebut.
Sebelum ini beberapa pihak mendakwa ia berpunca daripada sabotaj siber.
Kebakaran itu berlaku selepas beberapa siri letupan di kemudahan-kemudahan jana kuasa yang lain sejak beberapa minggu sebelum insiden di Natanz.
Behrouz Kamalvandi, jurucakap IAEO, memberitahu saluran TV bahawa “pihak berkuasa keselamatan akan mendedahkan kejadian letupan di Natanz apabila tiba waktunya.
Kebakaran berlaku di bengkel pemasangan sentrifugal. Sentrifugal diperlukan untuk menghasilkan pengayaan uranium, yang dapat digunakan untuk membuat bahan bakar reaktor, juga bahan untuk senjata nuklear.
Kamalvandi bulan lalu memaklumkan bahawa Iran akan mengganti bangunan yang rosak dengan peralatan yang lebih maju, tetapi kebakaran itu dapat memperlambatkan pengembangan dan pengeluaran sentrifugal canggih ‘dalam jangka pertengahan’.
Agensi berita negara Iran, Irna sebelumnya berkata, ada kemungkinan kejadian itu berlaku akibat disabotaj oleh musuh seperti Amerika Syarikat dan Israel, tetapi tidak menuduh salah satu negara secara langsung.
Natanz, kira-kira 250km (150 batu) selatan ibu negara Tehran, adalah kemudahan pengayaan uranium terbesar di Iran.
Awal bulan ini, Bloomberg menerbitkan perincian laporan oleh Badan Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), pengawas nuklear PBB, yang menyimpulkan bahawa Iran sedang berusaha meningkatkan pengayaan uranium di kilang itu.
Sekiranya benar, langkah itu akan melanggar perjanjian nuklear 2015 yang ditandatangani Iran dengan beberapa kuasa besar dunia. – MalaysiaGazette