Home Sukan Liga Malaysia: TFC, Kelantan kembali bergaya

Liga Malaysia: TFC, Kelantan kembali bergaya

Foto Facebook Kelantan FA.

KUALA LUMPUR – Kemenangan yang cukup bermakna buat dua pasukan Pantai Timur dalam perlawanan tertunda CIMB Liga Super dan Liga Premier semalam sekali gus menjadi tonik terbaik untuk mereka mengharungi baki tujuh lagi perlawanan.

Terengganu FC dan Kelantan masing-masing berjaya mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan semalam dan pastinya ia menjadi permulaan yang cukup baik untuk dua pasukan ini beraksi dalam saingan Liga Malaysia yang secara rasminya akan bersambung semula pada 28 Ogos ini sejak ditangguhkan akibat penularan Covid-19 pada 16 Mac lalu.

Terengganu beraksi dengan cemerlang menerusi penyerang importnya, Dominique Da Sylva yang meledak dua gol menewaskan pasukan PJ City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Jelas ketua jurulatih, Nafuzi Zain, aksi berdepan skuad bimbingan K. Devan pada mulanya bukan mudah namun kelemahan di barisan pertahanan lawan digunakan sebaik mungkin oleh anak buahnya untuk mencipta kelebihan.

Apa yang pasti, aksi yang ditampilkan Da Sylva membuktikan kemampuannya untuk menjadi senjata terbaik dalam pasukan selepas ketiadaan penyerang terbaik mereka sebelum ini iaitu Tchetche Kipree yang kini bersama Kedah.

“Kemenangan ini adalah rezeki pasukan selepas lebih empat bulan tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif.

“Pemain-pemain juga mengikut arahan dan latihan yang diberikan untuk mereka bersedia kerana kita tahu macam mana sukarnya menentang PJ City.

“Dominique juga buktikan malam ini dengan dua gol kemenangan dan macam saya pernah cakap, saya memang tengok dan nilai pemain ini, sebab itu saya buat keputusan untuk ambil dia sebagai penyerang dalam pasukan.

“Terengganu sebelum ini ada penyerang yang hebat, tetapi sekarang kita ada Dominique, dan dia perlu lebih bekerja keras kerana selepas ini banyak lagi perlawanan sukar”, jelasnya kepada Malaysian Football League.

Dalam aksi Liga Premier, Kelantan melakar kejutan apabila menang besar 5-1 ke atas UKM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, kemarin.

Ia satu kemenangan yang cukup manis buat skuad kendalian Yusri Che Lah ini kerana sedar dugaan dan cabaran yang dihadapi oleh pasukannya dalam tempoh persediaan menghadapi baki saingan pada musim ini.

“Susah saya nak gambarkan perasaan sekarang ini.

“Dalam kami menghadapi masalah, tengok daripada kesungguhan pemain, saya agak terharu dengan apa yang mereka tonjolkan.

“Sesungguh Allah memang menyebelahi kerana keikhlasan dan kejujuran pemain-pemain saya dan kami bermula lambat daripada segala persiapan, jadi saya sekali lagi ingin berterima kasih kepada para pemain kerana berjuang menaikkan nama negeri ini,” katanya.

Terengganu ketika ini berjaya menduduki tangga ketiga dengan tujuh mata selepas empat perlawanan manakala Kelantan di kedudukan kelima, juga dengan tujuh mata. – MalaysiaGazette