Home Seni Hidup PRK Slim: Saya tetap pilih ‘biru’, kata veteran ATM

PRK Slim: Saya tetap pilih ‘biru’, kata veteran ATM

Petugas kempen Barisan Nasional, Sabli Sadari, 76, menyusun bahan kempen ‘cheering stick’ ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 58 di Felda Gunung Besout 2, Perak. foto AFFAN FAUZI, 22 OGOS 2020.

SLIM RIVER – Golongan warga veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan tetap memilih Barisan Nasional (BN) yang banyak berjasa kepada rakyat selepas memerintah selama 60 tahun sebelum bertukar kerajaan.

Malah pengalaman bersama kerajaan baharu selama 22 bulan juga telah memberi penilaian untuk menentukan kerajaan mana yang menjadi pilihan untuk menjadi pemimpin mereka pada masa depan.

Bagi Norhayati ahmad, 55, dia akan terus setia memilih BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim ini kerana parti itu terbukti berjaya mentadbir negara.

“Saya memang daripada keturunan arwah ayah adalah ‘biru’ (BN). Saya tidak akan akan lompat dan ayah saya pesan, kalau tinggal seorang pun jangan lari. Kita sudah nampak ‘biru’ dan yang lain itu, boleh tahu mana yang beri manfaat kepada rakyat.

“Ada yang pujuk saya tukar parti tapi saya tidak lompat kerana keturunan saya macam itu,” katanya yang juga Persatuan Veteran ATM ketika ditemui MalaysiaGazette di sini baru-baru ini.

Veteran ATM, Norhayati Ahmad, 55 bercakap ketika ditemubual pada Majlis Perjumpaan Menteri Pertahanan bersama Warga Veteran ATM sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 58 di Dewan Felda Gunung Besout 2, Perak. foto AFFAN FAUZI, 22 OGOS 2020.

Ibu kepada empat anak itu memberitahu, BN pastikan akan mendapat enam lagi undi daripada keluarga antaranya ibu dan suaminya yang memangkah lambang dacing.

Dalam pada itu, Norhayati turut menasihati pengundi muda untuk berfikir panjang demi masa depan mereka sebelum mengundi.

“Pengundi muda tidak tahu benda sangat dan mereka perlu fikir masa depan serta pilih dengan bijak. Apatah lagi BN sudah bergabung dengan Pas.

“Lagi pun kita sudah ada sejarah 22 bulan lalu dan takkan kita nak ulang lagi? Kita kena berubah, dulu mereka hendak berubah dan kita sudah cuba,” katanya yang berkhidmat dalam ATM selama lima tahun.

Seorang lagi veteran ATM, Mohd Noor Zaainal, 62, juga berpendapat pengundi di Slim perlu mengundi dengan bijak.

Dia yang berkhidmat dengan ATM selama 10 tahun berkata, banyak manfaat yang diperoleh sebelum dan selepas bersara jika pengundi memilih kerajaan yang membantu kebajikan masyarakat.

Veteran ATM, Mohd Noor Zainal, 62, bercakap ketika ditemubual pada Majlis Perjumpaan Menteri Pertahanan bersama Warga Veteran ATM sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 58 di Dewan Felda Gunung Besout 2, Perak. foto AFFAN FAUZI, 22 OGOS 2020.

“Banyak manfaat saya dari dulu dari anak masih kecil dan sekolah dapat bantuan hingga masuk institut pengajian tinggi awam malah lepas bersara masih mendapat bantuan dengan menyertai persatuan bekas tentera,” katanya.

Namun lain pula bekas Pegawai Waran 2, Abd Jamil Talib yang menyifatkan apa jua bantuan dan sumbangan adalah tanggungjawab mana-mana kerajaan yang memerintah.

Jelas beliau yang berusia 67 tahun, memilih calon daripada parti tertentu adalah hak pengundi.

“Undi adalah pilihan masing-masing dan saya tidak boleh cakap (parti) ini bagus itu bagus. Saya sudah bersara 30 tahun dan sama sahaja dari dulu hingga sekarang. Kami suruh buat penyelarasan pencen namun endah tak endah.

“Masa Pertahanan BN, dulu asyik kata dalam kajian dan berapa kali kajian namun keputusan tidak ada,” kesalnya. – MalaysiaGazette

Veteran ATM, Abd Jamil Talib, 67 bercakap ketika ditemubual pada Majlis Perjumpaan Menteri Pertahanan bersama Warga Veteran ATM sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 58 di Dewan Felda Gunung Besout 2, Perak. foto AFFAN FAUZI, 22 OGOS 2020.