Home Politik RUU Perbekalan lulus bukti MN konsisten sokong Muhyiddin

RUU Perbekalan lulus bukti MN konsisten sokong Muhyiddin

Mohd Dendera Billah Zamzuri
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Mohd Dendera Billah Zamzuri. foto AFFAN FAUZI, 20 JULAI 2020

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Penguntukan semula peruntukan perbelanjaan) 2020 yang diluluskan Dewan Rakyat secara undi belah bahagi minggu lalu membuktikan Muafakat Nasional (MN) kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Mohd Dendera Billah Zamzuri berkata, langkah gagasan antara UMNO dan Pas memberi undi kepada RUU tersebut bagi memastikan kerajaan terus stabil hingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Syukur. Alhamdulillah, walaupun Barisan Nasional (BN) dan MN sebahagian daripada Kerajaan PN tetapi demi kesinambungan dan kesejahteraan rakyat Malaysia, kami tetap mempertahankan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sehingga ke PRU-15.

“Ini jelas terbukti berdasarkan dengan apa yang berlaku semasa undian dalam sidang Parlimen minggu lalu.

“RUU ini bagi memantapkan sistem penyampaian kerajaan selain memastikan pertindihan fungsi antara kementerian dapat diminimumkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Isnin lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Penguntukan semula peruntukan perbelanjaan) 2020 bagi perkhidmatan tahun ini sebanyak RM7,184,083,200 secara undi belah bahagi.

RUU yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada 21 Julai lalu itu diluluskan selepas mendapat 111 undi menyokong daripada 217 Ahli Parlimen yang hadir.

Seramai 106 ahli Parlimen tidak menyokong manakala lima Ahli Parlimen tidak hadir seperti diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Katanya lagi, walaupun Barisan Nasional (MN) dan MN bukan dominan dalam Dewan Rakyat, namun wakil rakyat sedia ada akan memastikan setiap undian demi kebajikan rakyat diluluskan dalam sidang Parlimen kali ini.

“Oleh itu jelas dengan undian sebanyak 111 daripada 217 ahli Parlimen yang hadir termasuk Senator, BN dan MN akan sentiasa memastikan kebajikan rakyat terbela walaupun dengan sedikit kuasa yang kami ada,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.