WELLINGTON – Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern memaklumkan sekatan pergerakan di Auckland akan terus empat hari lagi untuk memastikan wabak Covid-19 terkawal.
Sekatan pergerakan di Auckland akan ditarik semula pada tengah malam pada 30 Ogos dan bukannya pada 26 Ogos, katanya.
“Empat hari tambahan ini diyakini membolehkan kita menurunkan tahap jangkitan di Auckland,” menurut Ardern.
Auckland yang memiliki populasi seramai 1.6 juta penduduk menyumbang lebih daripada satu pertiga daripada Keluaran Dalam Negara Kasar New Zealand.
Bandar ini berada dalam tahap 3 sekatan pergerakan pada 12 Ogos lalu ketika empat kes dikesan mengakhiri 102 hari bebas Covid-19.
Sementara itu, seluruh negara berada dalam tahap 2, yang memerlukan pelaksanaan semula penjarakan sosial.
Ardern berkata, Auckland akan beralih ke tahap 2 pada 31 Ogos ini, sekaligus membolehkan sekolah, hospitaliti, peruncitan dan entiti lain dibuka semula.
Namun, perhimpunan akan dihadkan kepada 10 orang sahaja.
Sebagai tambahan, katanya, kerajaan akan mewajibkan pemakaian pelitup muka semasa berada dalam pengangkutan awam ketika negara berada pada tahap 2 atau lebih tinggi.
Kluster Auckland meningkat kepada 101 kes dan punca jangkitan masih misteri.
Sekatan yang dikenakan ke atas Auckland akan menyebabkan KDNK merosot sebanyak NZ$300 juta seminggu. – MalaysiaGazette