Home Dunia Selatan AS dilanda dua taufan serentak

Selatan AS dilanda dua taufan serentak

Ribut Laura dan Marco diramal menjadi taufan yang melanda selatan Amerika Syarikat. foto Agensi

LOUISIANA – Ribuan orang telah dipindahkan dari bahagian Caribbean dan selatan Amerika Syarikat susulan dua ribut melanda wilayah itu.

Taufan Marco dan Tropika Laura telah membawa angin kencang dan menyebabkan laut bergelora, mengakibatkan kerosakan di kawasan Haiti, Cuba dan Republik Dominica.

Hujan lebat juga melanda wilayah Puerto Rico.

Taufan Marco dijangka mendarat di negara bagian Louisiana pada hari Isnin, selepas taufan Laura melanda Texas pada hari Khamis.

Tetapi ramalan kaji cuaca meramalkan taufan Laura mungkin menghala ke arah timur menuju Louisiana dan ini mungkin pertama kalinya dalam sejarah negeri ini itu dilanda dua taufan serentak.

Susulan berlakunya ribut ini, Presiden Donald Trump telah mengeluarkan deklarasi bencana untuk Louisiana, memerintahkan bantuan persekutuan untuk menyelaraskan usaha bantuan.

Perisytiharan serupa dibuat untuk Puerto Rico pada hari Sabtu.

Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh di Republik Dominika ketika taufan Laura melanda negara itu, menyebabkan lebih dari satu juta orang penduduk mengalami gangguan bekalan elektrik.

Antara yang terbunuh adalah seorang budak lelaki berusia tujuh tahun yang mati bersama ibunya setelah tembok runtuh di rumah mereka.

Mangsa ketiga meninggal dunia setelah pokok tumbang di sebuah rumah.

Lima kematian lain telah dilaporkan di Haiti, termasuk seorang gadis berusia 10 tahun.

Manakala ibu kota Port-au-Prince, juga mengalami banjir teruk.

Sementara itu di Cuba, banyak penduduk di wilayah timur negara itu telah dipindahkan dan ditempatkan di tempat perlindungan atau bangunan yang lebih selamat.

Taufan Marco membawa angin berkekalan hingga 120km/j dan bergerak ke utara antara Cuba dan Semenanjung Yucatan, Mexico.

Manakala taufan Laura juga diramalkan menuju ke barat laut Houston, bandar keempat terbesar di Amerika.

Pusat Taufan Nasional Amerika Syarikat telah memberi amaran bahawa ribut taufan yang tiba boleh mengakibatkan cuaca berbahaya dalam jangka masa yang lama. – MalaysiaGazette