KUALA LUMPUR – Soal sama ada dua jaguh pecut negara Muhammad Haiqal Hanafi dan Khairul Hafiz Jantan akan terus kekal berlatih di bawah kendalian Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Dwayne Miller akan dibincangkan dalam masa terdekat.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata perbincangan itu bakal melibatkan jurulatih mereka Mohd Poad Md Kassim dan Miller.
Kata Ahmad Shapawi, perkara tersebut perlu dibincangkan dalam suasana semangat kekeluargaan.
“Soal untuk kita tetapkan masa depan Haiqal dan Hafiz (Khairul Hafiz) itu akan dibincangkan bersama jurulatih terlibat. Kita akan lihat perkembangan latihan dan laporan daripada Miller untuk apa rancangan seterusnya.
Kedua-dua jurulatih mempunyai peranan dan tugas masing-masing yang perlu dipenuhi. Sebaiknya perkara ini kita bincang sebagai keluarga jurulatih dalam kita memberi yang terbaik kepada atlet,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kepada Atlet Negara sempena Hari Kebangsaan Ke-63 di MSN di sini, hari ini.
Kedua-dua pemenang pingat emas acara 100m Sukan SEA, Khairul Hafiz (KL 2017) dan Muhammad Haiqal (Filipina 2019) itu kini berlatih bersama Miller susulan perancangan KOM untuk menempatkan secara berpusat kesemua atlet pecut elit kebangsaan di bawah kendalian jurulatih berasal dari Amerika Syarikat itu.
KOM sebelum ini menjelaskan keputusan meletakkan kedua-dua atlet itu di bawah kendalian Miller bukan berniat ‘merampas’, sebaliknya hanya ingin memberikan yang terbaik.
Dalam pada itu, Ahmad Shapawi berkata keputusan itu antara lain bagi memberi fokus terhadap usaha memperkukuhkan kuartet 4x100m negara.
“Dalam memastikan mereka dapat tampil cemerlang sebagai satu pasukan, berlatih bersama dalam satu kumpulan merupakan satu kaedah yang baik,” katanya.
Berasal dari Amerika Syarikat, Miller mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang kejurulatihan dan pernah membantu atlet Amerika Syarikat LaShawn Merritt merangkul dua emas pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing dalam acara 400m dan 4x400m dengan memecahkan rekod Olimpik.- BERNAMA