Home Politik Tiada rundingan antara SAPP dengan BN untuk hadapi PRN Sabah – Yong

Tiada rundingan antara SAPP dengan BN untuk hadapi PRN Sabah – Yong

KOTA KINABALU – Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee hari ini berkata, setakat ini tiada perundingan antara SAPP dengan Barisan Nasional (BN), bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, pada Sept depan.

Yong berkata, yang ada cuma pertemuan tidak formal beliau dengan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Sabah, Datuk Hajiji Noor baru-baru ini.

“Pertemuan itu turut diadakan bersama Datuk Dr Jeffrey Kitingan Presiden STAR (Parti Solidariti Tanah Airku),” katanya kepada Bernama melalui aplikasi WhatsApp, di sini malam ini.

Bagaimanapun, bekas Ketua Menteri Sabah itu tidak menjelaskan tujuan pertemuan berkenaan.

Semalam, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN dengan beberapa parti lain di Sabah, sedang berunding mengenai agihan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu untuk menghadapi PRN Sabah.

Ia termasuk Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), STAR, Parti Bersatu Sabah, Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).

PRN Sabah akan diadakan pada 26 September depan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan, pada 30 Julai lalu.

Terdahulu Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah juga menyatakan tidak berhasrat untuk bekerjasama dengan BN, dalam menghadapi PRN Sabah, bulan depan. – Bernama