KUALA LUMPUR – Timbul persoalan di benak mengapa MIC bertindak mendaftar dengan Perikatan Nasional (PN) walhal parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain tidak berbuat demikian.
Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan MIC yang kini diterajui oleh Tan Sri SA Vigneswaran telah mendaftar dengan PN bersama-sama rakan dalam BN, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) kerana PN perlu didaftarkan secara rasmi.
Manakala pada masa sama UMNO pula menolak untuk mendaftar dengan PN sebaliknya lebih selesa dengan Muafakat Nasional (MN).
Bagaimanapun menurut Vigneswaran, beliau mengetahui UMNO tidak sertai PN pada 29 Julai lepas.
“Tetapi sebenarnya pada awalnya sebelum kami mendaftar, kami telah diberikan tanggapan bahawa UMNO dan BN akan menyertai PN selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 1 Julai lepas.
“Apabila perbicangan tentang penyertaan BN dalam komponen PN diadakan secara persendirian, saya ingat lagi apakah jawapan Zahid Hamidi, kata beliau keputusan hanya boleh dilakukan selepas adanya mesyuarat AGM atau EGM terlebih dahulu. Begitu juga dengan MCA.
“Untuk MIC pula, saya putuskan biar dulu sebuah mesyuarat di adakan terlebih dahulu. Biar Majlis Tertinggi MIC Pusat (CWC) terdahulu malah ketika MIC mengadakan ‘retreat’ bersama-sama CWC pada 10 Julai, kita membuat dua ketetapan pada masa itu.
“Satu persetujuan menyertai MN, satu lagi persetujuan sertai PN. Seingat saya, Zahid sendiri sebelum ini sudah memberitahu kepada barisan komponen BN akan bertanding di bawah satu gabungan besar antaranya Bersatu, Pas dan BN di Semenanjung. Kemudian barulah akan menubuhkan PN sebagai kerajaan pusat.
“Apabila mendapat persetujuan daripada CWC, kami menyatakan persetujuan mendaftar dan menyerahkan surat persetujuan pada 15 Julai lepas, hanya selepas pada 29 Julai itu kami mendapat tahu UMNO tidak mendaftar.
“Saya memberitahu Zahid pada 29 Julai dan juga telah bercakap dengan Datuk Seri Najib tentang penyertaan dan kekeliruan mengenai UMNO mengeluarkan kenyataan tidak akan menyertai PN.
“Malah ketika mesyuarat BN pada 11 Ogos lepas, ketika disoal saya telah menjelaskan apa sebenarnya yang telah berlaku,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Menurut Vigneswaran, Ahmad Zahid sebenarnya telah memberi tanggapan bahawa akan adanya satu gabungan besar di Semenanjung, Sabah dan Sarawak di bawah payung PN.
“Inilah kekeliruan yang kami sendiri lalui, kemudian hanya selepas pendaftaran MIC dengan PN tanpa UMNO barulah kamu beritahu bahawa UMNO tidak akan sertai PN. Mengapa begitu? Mengapa tidak cakap awal-awal lagi?
“Apabila Muhyiddin bertanya ketika mesyuarat, anda katakan perlunya AGM atau EGM barulah sebarang keputusan boleh dilakukan. Mengapa tidak cakap sahaja ketika itu lagi BN tidak berhasrat mahu sertai PN?
“Jika itulah senarionya dari awal-awal lagi, MIC tidak akan daftar dengan PN. Itu saya amat pasti sama sekali. Sebaliknya kamu berdolak dalih, ketika kami fikir semua akan sertai dan mendaftar dengan PN, kamu kata tidak pula.
“Inilah sebenarnya kekeliruan itu, bukan sahaja umum tertanya malah dalam kalangan parti sendiri kami semua keliru dengan tindakan Zahid.
“MIC menganggap dan yakin dengan segala tindak tanduk serta percakapan bahawa semua akan sertai kerajaan PN. Selepas sebulan, Zahid tampil kata tidak akan mendaftar atau sertai hanya menyokong sahaja.
“MIC bukanlah parti yang telah mendapat manfaat besar dengan menyertai PN seperti mana UMNO dan MCA.
“Malah perlu diingat kami juga bukanlah golongan khianat dengan komponen kami sendiri dengan membuat keputusan sesuka hati seperti keputusan UMNO dengan MN dan juga perbicangan UMNO dengan PN.
“Kesemua keputusan dibuat oleh UMNO dan kami, MIC hanya mengikut segala kata putus selama ini.
“Saya masih berpegang teguh malah semua dalam parti MIC, apa-apa kami masih dengan BN. BN dahulu, apa sahaja keputusan ianya dengan BN. Kami akan bertanding dengan logo BN seperti yang telah diputuskan mesyuarat BN pada 11 Ogos,” tegasnya.
Sementara itu, sumber MalaysiaGazette memberitahu, sejak dua bulan lepas terdapat beberapa perbicangan berhubung pendaftaran PN antara Muhyiddin, Ahmad Zahid dan Datuk Seri Hadi Awang, malah buku perlembagaan sudah diberikan kepada mereka.
Bagaimanapun hanya pada saat akhir minggu lepas isu pendaftaran PN timbul kembali apabila Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mengumumkan parti itu akan terlibat sama dalam jawatankuasa pendaftaran PN bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Bagaimanapun, rakan sekutunya dalam MN iaitu UMNO kekal dengan pendirian untuk meneruskan MN dan tidak akan menyertai PN sebagai gabungan politik.
MN yang ditubuhkan secara rasmi pada 14 September 2019 merupakan sebuah gagasan kerjasama antara UMNO dan Pas. –MalaysiaGazette
Kalau dah ular tetap ular..