Home Dunia Argentina rekod kenaikan kes jangkitan, kematian Covid-19

Argentina rekod kenaikan kes jangkitan, kematian Covid-19

Dua pekerja sedang melalui kawasan setinggan di Buenos Aires, Argentina yang dikenakan sekatan pergerakan. foto Reuters

BUENOS AIRES – Argentina mengesahkan sebanyak 8,713 kes baharu koronavirus dan 381 kematian hanya dalam 24 jam.

Kementerian Kesihatan berkata, peningkatan kes ini berlaku di wilayah lain selepas Argentina melaksanakan kuarantin di Buenos Aires dan di pinggir-pinggir bandarnya.

Dengan angka terbaharu ini, kes jangkitan koronavirus di Argentina melebihi 350,000, dengan 7,366 kematian setakat ini.

Pengumuman itu dibuat setelah beribu-ribu orang Argentina mengambil bahagian dalam perarakan yang mendesak agar sekatan itu ditarik balik dan aktiviti ekonomi yang terhenti dimulakan semula.

Argentina yang mengalami kemelesetan ekonomi dalam tempoh dua tahun terakhir ini turut menyaksikan lonjakan pada kadar inflasi dan jumlah kemiskinan yang melambung.

Kementerian Kesihatan memaklumkan kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi adalah 57.3% di seluruh negara dan 64.5% di Buenos Aires.

Meskipun begitu, jumlah kes dan kematian di Argentina jauh lebih rendah berbanding Brazil, Chile dan Peru. – MalaysiaGazette