KAJANG – Cadangan mengenai pemberian jawatan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan dibawa ke dalam Mesyuarat dan Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) pada Oktober ini.
Perkara itu dinyatakan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sambil memberitahu, tidak ada peruntukan di dalam perlembagaan parti itu untuk melantik individu ke jawatan naib presiden parti pada masa ini.
Beliau berkata, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mempunyai pandangannya sendiri berhubung pemberian jawatan kepada Mohamed Azmin di dalam parti itu.
“Itu adalah pandangan peribadi YAB Menteri Besar Perak (Ahmad Faizal Azumu) sendiri.
“Mengikut perlembagaan tidak ada peruntukan untuk sesiapa dilantik memegang jawatan sebagai naib presiden,” katanya pada sidang media di Penjara Kajang di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Ahmad Faizal semalam apabila menjelaskan cadangan mengenai jawatan kepada Mohamed Azmin di dalam Bersatu setelah mengumumkan menyertai parti itu Sabtu lalu.
Beliau yang juga Menteri Besar Perak bagaimanapun mengakui perkara itu tidak pernah dibincangkan sebelum ini.
Mengulas lanjut Hamzah berkata, beberapa perkara telahpun dibincangkan di dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) berhubung bab-bab tertentu berkaitan kemasukan ahli dalam Bersatu.
Katanya, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Tan Sri Rais Yatim dilantik bagi mempengerusikan jawatankuasa berkenaan untuk melihat langkah perundangan yang wajar diambil dengan sebaik mungkin.
Katanya, hasil keputusan yang diperoleh dari jawatankuasa berkenaan akan dibawa ke AGM tersebut.
“Jadi tak timbullah kalau ada orang yang boleh dilantik naib presiden buat masa ini,” ujarnya.
Terdahulu, Hamzah menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Penjara ke-230 yang bertemakan Transformasi Penjara Kemakmuran Bersama.
Beliau turut mengadakan lawatan ke penjara bagi melihat sendiri proses dan aktiviti yang dijalankan oleh pihak penjara terhadap banduan.
Hadir sama pada majlis itu Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: